Search
  • EDICT Malaysia

๐Œ๐ž๐ฐ๐ฎ๐ฃ๐ฎ๐๐ค๐š๐ง ๐Ÿ๐Ÿ‘ ๐๐ž๐ง๐ฃ๐š๐ซ๐š ๐๐š๐ก๐š๐ซ๐ฎ ๐๐ฎ๐ค๐š๐ง๐ฅ๐š๐ก ๐’๐ฎ๐š๐ญ๐ฎ ๐ˆ๐๐ž๐š baik

EDICT menyatakan rasa bimbang terhadap keputusan kerajaan untuk mewartakan 13 pusat tahanan baharu sebagai penjara khas untuk menempatkan pesalah-pesalah PKP.


Melalui keputusan itu, kerajaan memberikan isyarat kepada badan kehakiman agar kesemua pesalah perlu dikenakan hukuman penjara.




Penjara bukan hanya sekadar suatu binaan. Bangunan penjara hanyalah salah satu daripada sistem penjara. Sebuah penjara memerlukan lebih daripada tembok, pagar dan kunci.


Sebuah penjara mestilah dilengkapi dengan pusat pemeriksaan kesihatan, pendaftaran masuk, pengurusan uniform dan pakaian, penyediaan makanan, penyediaan ubat-ubatan untuk tahanan yang memerlukan, penyediaan keselamatan dan kesihatan, sistem kawalan, pengurusan pelawat, kakitangan terlatih, pengangkutan dan sebagainya.


Bilangan warden yang besar diperlukan untuk mengendalikan sesebuah penjara. Apa yang diperlukan adalah warden, bukannya pengawal keselamatan. Warden penjara perlu melalui latihan yang menyeluruh dan melepasi ujian yang dikehendaki. Mereka perlu menghadiri kursus yang dikhaskan. Mereka juga perlu sentiasa diawasi.


Kami ingin mengingatkan kerajaan tiga perkara utama berikut:

Pertama, kerajaan adalah bertanggungjawab atas kebajikan, kesihatan dan keselamatan setiap tahanan walaupun penjara tersebut dibuat hanya untuk pesalah PKP.


Kedua, orang yang berada dalam tahanan lebih mudah untuk mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Oleh itu, kakaitangan penjara harus mempunyai pengetahuan dan segala yang diperlukan untuk menghadapi tingkah laku bunuh diri tahanan. Mereka juga mesti dipertanggungjawabkan bagi setiap percubaan membunuh diri oleh tahanan.


Ketiga, kemungkinan akan ada segelintir tahanan yang bersifat agresif dan berlaku ganas. Pergaduhan boleh berlaku di dalam penjara. Kakitangan penjara harus bersedia dan mencegah pergaduhan daripada tercetus, dan juga meleraikan pergaduhan yang berlaku.

Pengasingan perlu dibuat jika perlu. Kakitangan penjara mestilah dilatih serba-serbi bagi tujuan tersebut.


Dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan, mehkamah sentiasa memberi perhatian mengenai tanggungjawab pihak penjara. Sebagai contoh, kes Kamarulnizam Ismail. Beliau meninggal dunia di penjara Tapah selepas beberapa hari menjalani hukuman 14 hari penjara. Mahkamah mendapati 12 individu dan pihak kerajaan bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian beliau.


Dalam penghakiman kes itu, mahkamah berpendapat bahawa, memandangkan tahanan tersebut tidak sihat, warden patut memberikan perhatian kepadanya dan mengambil berat terhadap tahanan dibawah jagaan mereka. Mahkamah turut memberikan kos berjumlah RM162,000.00 serta faedah dikira daripada tahun 2014.

Kami juga ingin mengingatkan kerajaan dan badan kehakiman, memandangkan tiada penjarakan sosial, setiap tahanan mesti diasingkan sehingga mereka disahkan bebas Covid-19 melalui ujian saringan. Hanya selepas itu mereka boleh diletakkan di dalam penjara. Sekiranya ujian tidak dilakukan, penjara mungkin akan menjadi cluster baru Covid-19.


EDICT sekali lagi ingin menggesa badan kehakiman untuk tidak memenjarakan pesalah PKP. EDICT ingin mengingatkan badan kehakiman dan kerajaan bahawa hak untuk menghukum adalah hak prerogatif badan kehakiman, bukannya pihak kerajaan. Memenjarakan pesalah PKP bukanlah suatu idea yang baik.


Mewujudkan 13 buah penjara baharu juga bukanlah suatu idea yang baik. Mereka akan lebih terdedah kepada kemudaratan. Semestinya rakyat sebagai pembayar cukai tidak harus menanggung ganti rugi yang diberi oleh mahkamah atas sebab kematian salah yang bakal berlaku โ€“ yang mana wang itu seharusnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.



EDICT 20 April 2020

20 views
ย 

ยฉ2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).