Search
  • EDICT Malaysia

Adakah polis benar-benar kurang tahu akan undang-undang?





1. EDICT dalam satu kenyataannya semalam (3 Julai) telah menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin untuk menjelaskan mengapa polis tidak memaklumkan kes kematian V. Mugilarasu dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh kepada koroner Selangor sepertimana yang dikehendaki undang-undang.


2. Kami menulis: “Kami ingin mengingatkan beliau bahawa Kanun Prosedur Jenayah menghendaki pihak polis untuk segera melaporkan kematian dalam tahanan kepada koroner (seksyen 329(5)).'' (Penekanan dibuat.)


3. Kami gembira apabila wartawan Malaysiakini telah segera meminta maklum balas daripada Noor Azam. Kami gembira apabila beliau memberi respon dengan pantas. Kami juga sangat gembira apabila para pegawainya dilihat telah memaklumkan kepadanya mengenai kematian Mugilarasu dengan kadar segera. (Faisal Asyraf & M Fakhrull Halim, Selangor police chief denies hiding death in prison from coroner, 3 Jul 2020, 11.31 pm)


4. Kami bagaimanapun terkejut dengan respon beliau. Kami terkejut kerana beliau beranggapan mayat seseorang yang mati dalam tahanan mesti diperiksa oleh doktor terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada koroner.


5. Tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang menyatakan pihak polis mesti mendapatkan nasihat perubatan mengenai punca kematian sebelum memaklumkan kes kepada koroner. Perkataan “dengan segera” digunakan di dalam seksyen 329(5) Kanun Prosedur Jenayah sepertimana yang kami nyatakan dalam perenggan 2 dan 3 di atas.


6. Laporan mengenai respon Noor Azam itu menunjukkan bahawa pihak polis tidak akan melaporkan kematian dalam tahanan kepada pihak koroner sehingga siasatan fizikal ke atas mayat oleh pakar patologi forensik (pegawai perubatan kerajaan) selesai.


7. Tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang mahupun amalan oleh pihak polis kontinjen negeri lain yang diberikan mandat untuk menyiasat kematian dalam tahanan. Mereka menyiasat lebih kurang 16 kematian dalam lokap polis setiap tahun, ditambah pula dengan banyak lagi kes kematian di pusat tahanan lain.


8. Dalam apa jua keadaan, laporan bedah siasat jarang boleh didapati dalam tempoh sebelum 3 bulan daripada waktu siasatan fizikal mayat yang dilakukan oleh pegawai perubatan. Ini adalah kerana kematian dalam tahanan tidak diberikan keutamaan di Malaysia. Oleh itu, pegawai perubatan terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan untuk mendapatkan keputusan ujian toksikologi dan mikrobiologi.


9. Dalam satu kenyataan bertarikh 1 Julai, kami menggesa Ketua Polis Kuala Lumpur untuk mengemukakan protokol pendedahan bagi kes kematian dalam tahanan di daerah bawah seliaan beliau. Kami bertanya, “Selain pihak koroner (sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang), kepada siapakah mesti pihak polis melaporkan kematian tersebut? Apakah maklumat yang mesti pihak polis kemukakan kepada ahli keluarga mangsa dan orang awam? Dan bila?''.

(Nota: Kami tidak mengetahui apa-apa respon daripada Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.)


10. Justeru, kami ingin memanjangkan gesaan tersebut kepada Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


11. Bilakah pihak polis dan kerajaan akan menegakkan kedaulatan undang-undang dalam kes kematian dalam tahanan ini? Bilakah mereka akan mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap polis? Nyawa manusia bukan objek yang tidak bernilai.


EDICT

04 Julai 2020

145 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).