Search
  • EDICT Malaysia

Anggota Polis Ditahan Berpesta Liar Perlu Disiasat Sama Seperti Orang Awam


1. EDICT merujuk laporan media yang melaporkan sekumpulan anggota polis yang terdiri daripada Ketua Balai dan anggota-anggota bawahannya telah ditahan ketika sedang leka berpesta liar bersama wanita dan air ketum. Selain itu, mereka juga turut ditahan bersama minuman keras dan wanita serta bahan lucah.


2. EDICT melahirkan rasa kesal dan marah dengan perilaku anggota polis tersebut. Justeru, EDICT mengecam tindakan mereka serta menggesa satu tindakan yang tegas diambil oleh pihak Bukit Aman ke atas para anggota berkenaan.


3. Apa yang mengejutkan EDICT adalah, pihak Bukit Aman tidak terus mengeluarkan kompaun kepada para anggota tersebut yang jelas telah melanggar SOP dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara fasa 1 dilaksanakan sedangkan jika rakyat biasa yang melakukan perkara sedemikian akan terus dikompaun dengan amaun yang agak tinggi.


4. Lebih menghairankan, memetik kenyataan daripada Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad bahawa Bukit Aman akan mengambil tindakan ke atas para pelaku jenayah ini dibawah seksyen 269 Kanun Keseksaan sahaja iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa. Hukuman bagi kesalahan ini pula adalah amat ringan.


5. EDICT mengharapkan agar pihak polis dapat menyiasat dan mencadangkan kepada pihak pendakwaan supaya pertuduhan bagi kesalahan-kesalahan berkenaan memiliki air ketum dan gambar lucah dapat dikenakan terhadap anggota-anggota berkenaan serta dikenakan hukuman yang setimpal jika disabitkan agar memberi pengajaran. Hukuman ke atas para anggota bagi kesalahan ini akan menjadi lebih berat sekaligus dapat memberi pengajaran kepada para anggota lain untuk tidak mengulangi perbuatan seumpama ini.



6. EDICT ingin menggesa pihak polis dan pendakwaraya agar menyiasat dan mendakwa para anggota yang melakukan jenayah secara adil dan saksama sebagaimana pihak polis menyiasat rakyat biasa. Layanan yang sama rata dalam kalangan pelaku jenayah akan memperlihatkan integriti PDRM serta dapat mengembalikan kepercayaan dan penghormatan masyarakat awam terhadap pihak polis.


7. Para anggota yang terlibat dalam jenayah dan perlanggaran SOP ini wajib digantung tugas ketika proses siasatan dilakukan. Mereka juga wajib dipecat daripada tugas selepas didapati bersalah. Tindakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebelum-sebelum ini yang hanya bertindak menukarkan atau menggantung tugas para anggota terlibat jenayah adalah tidak wajar sama sekali. Para anggota yang jelas melanggar undang-undang hendaklah dilucutkan jawatan dan bukan sekadar digantung tugas atau ditukarkan.


EDICT

21 JULAI 2021


163 views0 comments