Search
  • EDICT Malaysia

Badan Kehakiman Mesti Lebih Proaktif Dalam Menyiasat Kematian Dalam Tahanan.


1. Semalam, EDICT dalam satu kenyataannya mendedahkan satu lagi kes kematian dalam tahanan di Lokap Jinjang. Si mati adalah seorang warganegara Nepal bernama Dhan Bahdur.

2. Dalam kenyataan itu, EDICT mempersoalkan sama ada benar atau tidak pihak Koroner Kuala Lumpur tidak melihat mayat si mati di tempat kejadian, sepertimana yang diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah, seksyen 330.

3. EDICT merujuk kepada satu pekeliling Arahan Amalan yang berkuatkuasa 8 Mac 2019, yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

4. Dalam perenggan 7.1 pekeliling tersebut, Malanjum menjelaskan bahawa seorang koroner dikehendaki melihat mayat di tempat kejadian hanya jika pegawai penyiasat beranggapan bahawa terdapat keperluan untuknnya.

5. EDICT terkejut dengan kenyataan itu. Kami menggesa Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Tuan Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh untuk menjelaskan sama ada pekeliling itu masih berkuatkuasa. Kami mengambil maklum bahawa sekiranya pekeliling tersebut masih berkuatkuasa, semua koroner terikat dengan dan dikehendaki mematuhi pekeliling tersebut.

6. Di Malaysia, secara purata, seramai 16 orang mati di dalam tahanan polis setiap tahun (menurut laporan Parlimen oleh Menteri Dalam Negeri bertarikh 30 Mac 2017).

7. Mahkamah Malaysia telah berulang kali mendapati pihak polis bertanggungjawab terhadap kes-kes kematian dalam tahanan dan telah menganugerahkan pampasan dan kos bernilai jutaan ringgit sebagai “peringatan” kepada pihak polis bahawa kematian dalam tahanan tidak boleh diterima sama sekali.

8. Mahkamah juga telah berulang kali mendapati pihak (polis) pegawai penyiasat telah gagal untuk mengendalikan siasatan yang berkredibiliti dalam kes kematian dalam tahanan.

9. Berdasarkan perkara-perkara ini, adalah amat berbahaya sekiranya Ketua Polis Negara dan kerajaan berpendapat bahawa seorang pegawai polis boleh memutuskan sama ada untuk melibatkan koroner atau tidak dalam penyiasatannya.

10. Berdasarkan perkara-perkara ini juga, adalah tidak wajar sama sekali Ketua Hakim Negara bersetuju dengannya!

11. Kami menggesa Ketua Hakim Negara yang baharu, Tengku Maimun Tuan Mat, untuk membatalkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Malanjun serta mengarahkan agar Koroner mesti berada di tempat kejadian dimana mayat didapati mati didalam tahanan.

12. Kami selanjutnya ingin menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan koroner tidak dibiarkan tertinggal dalam peringkat awal penyiasatan dan memastikan agar siasatan berjalan dengan sempurna.

13. Kami maklum bahawa menurut satu laporan berita, pihak polis tidak menemui sebarang elemen jenayah atau kesilapan dalam kematian Bahdur. Kami ingin bertanya, bagaimana dengan salah laku, punca kematian kepada hampir semua kes kematian dalam tahanan yang dibawa ke mahkamah?

14. Bukan tugas polis untuk memutuskan punca kematian dalam tahanan. Ini adalah tanggungjawab koroner seperti yang termaktub dalam seksyen 334, Kanun Prosedur Jenayah.

43 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).