Search
  • EDICT Malaysia

Cadangan EDICT menangani masalah kematian dalam tahanan



1. IPCMC bukanlah satu mekanisme untuk menyiasat kematian dalam tahanan. IPCMC adalah satu suruhanjaya menyiasat salahlaku anggota polis. Ini bermakna sebarang tuduhan ke atas salahlaku akan dibawa ke IPCMC selepas penyiasatan ke atas kematian dalam tahanan dilengkapkan mengikut undang-undang (dalam hal ini; Kanun Prosedur Jenayah). Buat masa ini, EAIC yang menjalankan tugas IPCMC. Namun, IPCMC versi kerajaan PH adalah lebih lemah berbanding EAIC.


2. Peranan Mahkamah Koroner perlu diperkukuhkan dan Akta Mahkamah Koroner perlu digubal. Dalam masa sama, peruntukan-peruntukan dalam Kanun Prosedur Jenayah harus dipatuhi. Arahan Amalan 2019 juga mesti dipatuhi. Siasatan kes kematian hendaklah dilengkapkan dalam masa 6 bulan daripada tarikh kejadian. Inkues juga mesti diadakan untuk setiap kes kematian dalam tahanan. Ini termasuk kes-kes kematian di pusat tahanan imigresen.



3. Satu siasatan bebas hendaklah dilakukan bagi kes-kes kematian dalam tahanan. Buat masa ini, siasatan yang dilakukan polis dalam kes ini hendaklah dilakukan oleh bahagian forensik didalam PDRM sebagai memenuhi kehendak undang-undang sedia ada. Pasukan khas ini hendaklah bebas daripada balai polis yang terlibat dengan kes kematian yang berlaku. Sewajarnya pasukan ini hendaklah daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diketuai oleh seorang pegawai yang tidak dipertikaikan tahap integriti dan kebebasannya.


4. SUHAKAM hendaklah menyiasat perlanggaran hak asasi manusia dalam kes-kes kematian dalam tahanan selepas Mahkamah Koroner menyelesaikan siasatannya. Cadangan-cadangan oleh SUHAKAM akan berguna untuk menambah-baik keadaan didalam pusat tahanan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada para tahanan tetapi juga para kakitangan yang bertugas di pusat-pusat tahanan


5. Masyarakat hendaklah berhenti daripada mengatakan kematian dalam tahanan hanya melibatkan kaum India. Perkara ini melibatkan semua rakyat Malaysia. Masalah ini boleh diselesaikan sekiranya kita melihat perkara ini dengan betul. Mengenalpasti masalah melalui kacamata perkauman adalah satu masalah.


6. Terdapat segelintir aktivis dan peguam yang tidak memahami keperluan untuk mematuhi perkara-perkara ini yang telahpun ditetapkan didalam undang-undang. Tidak ada cara lain untuk mendapatkan keadilan melainkan melalui mahkamah. Tidak ada sebarang unsur politik dan diskriminasi dalam perjalanan undang-undang di mahkamah bagi kes-kes kematian dalam tahanan. Sejarah telah membuktikan begitu banyak keputusan mahkamah yang menyebelahi pihak keluarga selepas melalui proses yang betul dan wajar. Sebarang ketidakpuasan hati terhadap keputusan sesuatu mahkamah boleh dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi.


7. Laungan mendaulatkan undang-undang (rule of law) yang digunakan oleh segelintir aktivis berkenaan sebelum ini patut diingati semula dalam isu kematian dalam tahanan. Bagi kes-kes kematian dalam tahanan, mengikut prinsip kedaulatan undang-undang, inkues adalah satu-satunya jalan bagi mendapatkan punca dan penyebab kematian. Hanya melalui inkues kita akan dapat melihat keterbukaan perjalanan siasatan. Kita juga berpeluang mempertikai dan mencabar sebarang dakwaan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak berkuasa yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan. Tidak ada siasatan oleh pihak lain yang begitu telus berbanding proses inkues di Mahkamah Koroner. Keadilan adalah untuk kedua-dua pihak dan bukannya hanya sebelah pihak. Sebagai aktivis dan peguam yang berpegang kepada prinsip rule of law, adalah tidak wajar untuk bersikap prejudis dan berat sebelah sebelum siasatan dilakukan.


8. Setiap pihak hendaklah bekerjasama dalam usaha untuk mencapai sifar kematian dalam tahanan.


EDICT

7 jun 2021

10 views0 comments