Search
  • EDICT Malaysia

Dakwaan Ketua Polis Negara Terdapat “Kartel” Dalam Kalangan Anggota: EDICT Desak IPCMC Segera



1. EDICT mengambil serius kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkenaan penglibatan anggota polis dalam “kartel” jenayah.


2. Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara itu dibuat pada 1 Januari lalu dalam satu temubual dengan Akhbar Utusan Malaysia (Lihat pautan).


3. Kenyataan Ketua Polis Negara itu menyatakan bahawa terdapat "kartel" dalam kalangan anggota polis berpangkat tinggi untuk mewujudkan satu rangkaian anggota yang akan berpakat dengan penjenayah.


4. EDICT berasa gusar dengan berita ini namun pada masa yang sama menyambut baik keberanian Ketua Polis Negara untuk memaklumkan kepada orang awam mengenai perkara ini. EDICT juga menyambut baik keterbukaan Ketua Polis Negara untuk menerima aduan dan kerjasama orang awam dalam membendung masalah salahlaku anggota polis seperti yang dinyatakan oleh beliau dalam wawancara tersebut.


5. EDICT berharap, salahlaku jenayah dan masalah disiplin yang melibatkan para anggota ini tidak hanya berakhir dengan tindakan disiplin di peringkat dalaman sahaja. Anggota yang terlibat hendaklah ditahan dan didakwa sepertimana orang awam lain yang melakukan jenayah.


6. Proses siasatan yang telus dan bebas mesti dilakukan segera. Rancangan penubuhan IPCMC yang tergendala sejak tahun 2005 mestilah segera dilaksanakan oleh kerajaan. Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ini, Dato Haji Takiyuddin Bin Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hendaklah memberikan perhatian penuh dalam usaha menubuhkan IPCMC ini.


7. EDICT berpendapat, sekiranya orang awam diawasi oleh pihak polis, maka pihak polis pula memerlukan suatu badan lain yang bukan terdiri dari kalangan pihak polis sendiri untuk mengawasi dan mengadili tindakan mereka. IPCMC adalah jawapan terbaik dalam membendung masalah “kartel” dalam PDRM hari ini. Adalah mustahil untuk menyelesaikan masalah ini dengan satu proses siasatan yang dilakukan hanya di peringkat dalaman PDRM semata-mata. Sekiranya Ketua Polis Negara dan kerajaan benar-benar mahu membendung masalah ini daripada menular dan menjadi lebih serius, maka kerajaan dan PDRM harus bersikap terbuka untuk menerima proses siasatan yang dikendalikan oleh badan yang bebas dan bukan terdiri daripada kalangan anggota PDRM itu sendiri.


8. Tindakan tegas oleh Ketua Polis Negara dan kerajaan mestilah ditunjukkan kepada para anggota dan juga orang awam supaya kredibiliti PDRM dapat ditegakkan dan memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap kerajaan dan PDRM.


EDICT

4 Januari 2021

53 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).