Search
  • EDICT Malaysia

Di Malaysia, Keganasan Polis Bukan Cenderung Menyasarkan Kaum India


Ada dalam kalangan kita yang berseloroh bahawa merujuk kepada akhbar harian, kaum India adalah yang paling ramai mati di Malaysia. Kita membuat dakwaan sedemikian berdasarkan fakta ini: kebanyakan notis pengumuman kematian yang disiarkan di bahagian obituari adalah melibatkan kaum India.




Susulan daripada pembunuhan George Floyd, seorang warga Afrika-Amerika, yang secara dasarnya dibunuh oleh seorang anggota polis kulit putih, Derek Chauvin di Minneapolis, Amerika telah dibanjiri dengan protes


yang bertemakan “Black Lives Matter.”


Sebilangan rakyat Malaysia telah menyiarkan semula atau mengeluarkan rencana-rencana baharu yang membandingkan kaum India dengan kaum Afrika-Amerika di Amerika Syarikat.

Anne Dorall adalah penulis rencana yang bertajuk “Indian Malaysians are over-represented in police custody deaths” (lihat pautan). Rencana itu disiarkan pada 4 Jun 2020 di The Rakyat Post.


Rencana tersebut mengimbas kembali kes-kes yang berlaku pada tahun 2013, iaitu kematian Sugumar Chelladuray dan Dharmendran Narayanasamy. Kedua-dua kes tersebut sangat tragis dan jelas menunjukkan kesalahan pegawai tangkapan, pengawai penyiasat dan pegawai-pegawai atasan.


Anne menggunapakai data daripada Malaysiakini, SUHAKAM dan jawapan dalam sidang parlimen untuk mengemukakan banyak perkara yang penting, termasuk mengenai hanya satu daripada empat kes yang diheba


hkan/disiarkan oleh media.


Walau bagaimanapun, pandangan dan komen perlu diberikan terhadap dua kenyataan dalam perenggan daripada rencana tersebut, iaitu:


“Etnik India merangkumi kurang daripada 7% penduduk Malaysia tetapi merangkumi hampir suku (23%) daripada jumlah kematian dalam tahanan polis. Malahan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menganggarkan, bilangan tersebut kemungkinan lebih tinggi iaitu 55%.”


Kenyataan yang pertama tersebut membayangkan bahawa peratusan kes kematian dalam tahanan melibatkan kaum India dijangkakan pada kadar lebih kurang 7%. Namun, jangkaan peratusan tersebut sepatutnya merujuk kepada kadar peratusan kaum India di dalam lokap, yang mana kita tidak mengetahui jumlahnya. Jika 23% tahanan di dalam lokap adalah kaum India dan 23% kematian dalam tahanan adalah terdiri daripada kaum India, maka 23% adalah peratusan yang dijangkakan. Maka, ia adalah suatu perbandingan yang berbahaya. Apa yang disampaikan adalah peratusan orang India di dalam lokap berkemungkinan lebih besar daripada peratusan jumlah mereka yang merangkumi populasi dalam negara (7%).



Kenyataan yang kedua, kadar 55% yang dianggarkan (berdasarkan laporan-laporan akhbar) adalah tidak boleh dipercayai bilamana ia menyimpulkan bahawa kebanyakan yang mati di Malaysia adalah kaum India, “kerana kebanyakan notis pengumuman kematian yang disiarkan di bahagian obituari adalah melibatkan kaum India.” Mungkin kadar 55% tersebut menunjukkan bahawa kaum India lebih cenderung untuk meluahkan kesedihan mereka secara terbuka. (Nota: kami tidak dapat mengesahkan sama ada SUARAM pernah mencadangkan bahawa 55% yang mati di dalam lokap adalah kaum India.)


Kenyataan yang menyedihkan adalah, data tentang kematian dalam tahanan tidak disiarkan secara rutin di Malaysia. Data yang kita ada hanyalah data yang diperolehi daripada jawapan-jawapan dalam sidang parlimen apabila isu berkenaan sesekali dikemukakan. Oleh yang demikian, rakyat terpaksa bergantung kepada sumber yang lain untuk menganggarkan jumlah kematian dalam tahanan.




Fakta yang utama ialah: secara purata, 16 orang mati dalam lokap polis di Malaysia setiap tahun. Ini adalah masalah yang perlu ditangani.


Martin Vengadeson adalah penulis rencana “Whose lives matter” (lihat pautan) yang disiarkan di dalam The Star pada 14 Oktober 2018, dan kini rencana itu sedang disebarkan semula. Pada 31 Mei 2020, beliau telah menyiarkan rencana “White trash, George Floyd and the Malaysian equivalent” (lihat pautan). Rencana ini ini juga sedang disebarkan.



Martin memulakan rencana pertama beliau tersebut dengan menceritakan nasihat yang telah diberikan kepada anak-anaknya:


“Jika kamu ditahan oleh polis di sekatan jalanraya, kamu jangan berlagak pandai,”… “Mereka akan melihat kamu sebagai orang India, dan polis disini terkenal dengan layanan yang buruk ke atas orang India di dalam lokap.”


Martin menyenaraikan kes-kes yang “terkenal” mengenai orang India yang mati dalam tahanan: Francis Udayappan (Mei 2004), A.Kugan (Januari 2009), N.Dharmendran (Mei 2013) dan S.Balamurugan (Februari 2017).




Menurut Martin, data SUARAM menunjukkan 56% laporan berita mengenai kematian dalam tahanan adalah melibatkan kaum India, manakala menurut kajian Martin selama lebih 15 tahun, beliau menganggarkan jumlahnya mencecah 80%.


Martin menyerahkan kepada para pembaca untuk memutuskan data mana yang mereka “pilih untuk terima”, memandangkan fakta utamanya tetap sama, iaitu: “sebilangan besar orang India telah mati dalam tahanan.” Beliau menyatakan “banyak ketidakadilan yang berlaku tidak mempunyai kecenderungan terhadap kaum, namun keganasan polis menunjukkan sebaliknya.”


Martin kemudiannya menyentuh tentang kematian dalam tahanan melibatkan golongan minoriti di seluruh dunia. Beliau ada menyebut tentang gerakan Black Lives Matter di Amerika. Beliau seterusnya menulis:




“Aktivis sosial, Janakey Raman yang telah meluangkan hampir seluruh hayatnya untuk komuniti ladang pernah berkata, ketakutan dalam kalangan orang India adalah mereka telah menjadi sasaran dan dicap sebagai penjenayah, dan wujudnya kitaran syak wasangka dan sikap mempersalahkan yang menjadi kuat dengan sendirinya.”


Di dalam rencana keduanya, yang terbaharu, Martin menceritakan tentang banyak kes keganasan polis terhadap kaum Afrika-Amerika di Amerika. Beliau menyimpulkan:

“Saya juga mempunyai satu soalan untuk anda, para pembaca Malaysia yang dikasihi – adakah terdapat satu trend perkauman dalam keganasan polis disini? Adakah terdapat cerminan fenomena sama yang boleh anda fikirkan di Malaysia?


“Saya akan memberikan anda sedikit petunjuk – kematian di dalam lokap, kaum majoriti, kaum minoriti, hipokrasi, hak keistimewaan, tidak disabitkan.


“Anda carilah jawapannya sendiri.”



Kedua-dua Anne dan Martin mencadangkan bahawa sasaran polis di Malaysia adalah kaum India. Kami dengan hormatnya tidak bersetuju.


Hakikat yang menyedihkan adalah kaum India ditonjolkan secara tidak seimbang dalam kegiatan jenayah.


Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dibuat pada 2017 oleh kaum India di Jabatan Perdana Menteri, menegaskan bahawa walaupun bilangan kaum India hanya sebanyak 7% daripada jumlah penduduk negara, mereka merupakan 22% yang terlibat dalam kes keganasan rumahtangga yang dilaporkan, 29% dalam kes jenayah keganasan dan 70% dalam kes kongsi gelap.



Terdapat dua lagi perkara yang perlu diketengahkan di sini. Pertama, dalam kebanyakan kes penderaan oleh pihak polis yang melibatkan suspek kaum India, pelaku penderaan tersebut adalah pegawai polis daripada kaum India (soal siasat selalunya perlu dijalankan dalam Bahasa Tamil). Kedua, dalam puluhan kes yang diketahui oleh EDICT, faktor “profil perkauman” bukan antara dakwaan yang dibuat terhadap pihak polis.


Kami tahu pasti ramai yang kecewa dengan kenyataan kami ini kerana mereka sesungguhnya percaya bahawa kaum India dilayan dengan buruk di Malaysia.

Kita semua jelas mengenai ratusan ribu orang India yang telah mati ketika bekerja di ladang semasa era penjajahan British dan terkorban semasa membina landasan keretapi di zaman pendudukan Jepun.



Kita juga jelas semasa pasca-perang, ratusan ribu orang India telah dihalau daripada ladang-ladang dan menjadi penduduk kawasan sesak di bandar-bandar.


Terdapat data yang jelas untuk menyokong kenyataan di atas namun tiada sebarang data yang jelas menunjukkan bahawa Polis di Malaysia menyasarkan kaum India secara sistematik.


Hakikatnya adalah di Malaysia, salahguna kuasa oleh pihak polis tidak bersifat perkauman. Di Malaysia, reaksi terhadap kematian George Floyd seharusnya reaksi terhadap keganasan pihak polis dan BUKANNYA reaksi mengenai diskriminasi (yang didakwa) terhadap kaum India.




EDICT 9 Jun 2020

154 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).