Search
  • EDICT Malaysia

EDICT gesa polis ikut SOP untuk tahanan


1. EDICT dimaklumkan terdapat satu kes dimana dua tahanan yang didapati positif Covid-19 telah dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa. Menurut laporan berkenaan, kedua-dua tahanan tersebut sebelum ini ditempatkan di lokap berpusat Jinjang. Perkara ini sangat membimbangkan dan EDICT memandang serius akan hal ini.

2. EDICT pernah mengeluarkan satu kenyataan pada 18 Mac yang lalu dimana kami menegaskan betapa pentingnya untuk pihak kerajaan memastikan pematuhan SOP seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pusat-pusat tahanan. Adalah menjadi tanggungjawab pihak polis dan pihak penjara untuk memastikan SOP tersebut turut diamalkan terutamanya di kalangan tahanan. Namun, apa yang berlaku di lokap Jinjang tersebut menunjukkan bahawa pihak polis telah gagal untuk memastikan SOP tersebut dipatuhi malahan telah menimbukan risiko penularan wabak di kalangan tahanan.

3. EDICT juga bimbang akibat kelalaian pihak polis ini akan memberi kesan terhadap mereka yang berkhidmat di mahkamah seperti hakim, kakitangan mahkamah dan peguam.

4. EDICT memerhatikan, walaupun kita di dalam tempoh PKPB di mana orang awam diwajibkan mengikut SOP yang ditetapkan, namun pihak polis dilihat tidak mengambil tindakan sama terhadap para tahanan reman yang berada di bawah pengawasan mereka.

5. Terdapat tahanan yang tidak diberikan topeng muka, tidak dibekalkan “hand sanitizer” dan juga langsung tiada penjarakan fizikal antara tahanan-tahanan sama ada di dalam lokap atau di mahkamah. Apakah pihak polis tidak menjangkakan hal ini?

6. Kami menggesa pihak polis segera mengambil langkah berikut demi memastikan para tahanan dan kakitangan yang bertugas di pusat tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan wabak ini:

a) Membekalkan dan mewajibkan pemakaian topeng muka di kalangan tahanan;

b) Mewajibkan para tahanan kerap mencuci tangan dengan membekalkan ''hand sanitizer''; dan

c) Memastikan terdapat penjarakan fizikal antara tahanan-tahanan.

7. Di samping itu, EDICT juga ingin mengingatkan pihak polis bahawa tujuan reman hanyalah untuk membantu siasatan dan tidak harus diminta dengan sewenang-wenangnya jika tiada kepeluan untuk menahan seseorang itu. Menahan seseorang di dalam lokap ketika musim pandemik ini hanya akan menambahkan lagi risiko jangkitan dan membahayakan nyawa tahanan yang sedia ada serta kakitangan di pusat tahanan, termasuk nyawa anggota polis sendiri.

14 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).