Search
  • EDICT Malaysia

EDICT kecam intimidasi polis ke atas penggiat seni yang mendesak perubahan



1. EDICT memandang serius tindakan PDRM menyiasat penggiat seni Amin Landak yang merupakan seorang kartunis dan Anna Har daripada Freedom Film Network berkenaan satu tayangan video mengenai penderaan dan kematian dalam tahanan yang diterbitkan oleh SUARAM. Video animasi tersebut memaparkan kisah benar berlandaskan fakta kes dan bukti kejadian yang benar-benar berlaku ketika mangsa-mangsa tersebut berada di dalam tahanan polis.


2. EDICT berpendapat tindakan pihak polis menyiasat para pendesak perubahan yang bercakap mengenai isu ini sebagai satu siasatan yang sia-sia dan membuang masa. Pihak PDRM sepatutnya memaparkan sikap serius dalam menangani dakwaan penderaan tersebut dan bukannya membuat intimidasi terhadap mereka yang cuba membawa isu tersebut.


3. Imej dan integriti PDRM kini semakin hangat dipertikaikan berikutan berlakunya banyak kes kematian dalam lokap polis termasuk dakwaan para tahanan dipukul dan dilayan tidak berperikemanusiaan. PDRM perlu menunjukkan sikap yang tegas dengan mengambil tindakan kepada para anggota yang terlibat melakukan penderaan dan melanggar etika serta tugas sebagai seorang anggota polis, bukannya menakut-nakutkan para pengkritik yang menegur salahlaku anggota polis.


4. EDICT dengan itu mendesak agar PDRM menghentikan siasatan yang berbentuk intimidasi ke atas kedua-dua mereka dalam kes ini dan juga ke atas para pendesak perubahan yang lain yang mengkritik polis berlandaskan fakta dan undang-undang.



EDICT

2 JULAI 2021

65 views0 comments