Search
  • EDICT Malaysia

EDICT kecam kes penderaan ke atas tahanan di Penjara Pulau Pinang.


1. EDICT memandang serius kes terbaru berkenaan kes penderaan ke atas tahanan bernama Lim Kung Wah yang berlaku baru-baru ini.

2. Lim mendakwa dirinya dipukul berulang kali ketika beliau dalam tempoh reman di Penjara Pulau Pinang. Lim membuat dakwaan itu dihadapan majistret di Mahkamah Majistret Pulau Pinang.

3. EDICT ingin menegaskan bahawa pihak Jabatan Penjara perlu mengambil langkah tegas ke atas kakitangan yang didakwa telah sengaja mendatangkan ancaman fizikal ke atas tahanan tersebut.

4. Penderaan fizikal dan mental ke atas tahanan tidak seharusnya berlaku dan Jabatan Penjara sepatutnya sudah bersedia dengan pelbagai langkah untuk menangani kes-kes seperti ini memandangkan isu kematian dan penderaan dalam tahanan telah acap kali berlaku dan pengabaian serta kecuaian pihak penjara telah berulang kali dibangkitkan sama ada di dalam atau luar mahkamah.

5. Pengabaian dan kecuaian dalam menjalankan tugas adalah kesalahan-kesalahan yang boleh didakwa dibawah Kanun Keseksaan apatah lagi dalam kes-kes yang mendatangkan kecederaan fizikal dan kematian.

6. EDICT menggesa mangsa yang terlibat untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya mengikut undang-undang bagi memastikan kejadian ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada para kakitangan di penjara. Kami harap mangsa akan turut melaporkan perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. EDICT senantiasa bersedia untuk memberikan bantuan undang-undang kepada mangsa berkenaan perkara ini.

EDICT

25 September 2020

72 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).