Search
  • EDICT Malaysia

EDICT Kecam Tindakan PDRM abai tahanan bawah umur dalam lokap



1. Menurut laporan akhbar beberapa agensi media bertarikh 17 Januari 2021, terdapat satu kes di mana seorang tahanan bawah umur perempuan telah dirogol oleh beberapa orang lelaki semasa ditahan di dalam lokap di balai polis Miri.


2. EDICT mendapati terdapat perlanggaran prosedur oleh anggota polis ketika kanak-kanak perempuan itu ditahan. Berikut adalah huraiannya:


a) Menurut seksyen 85(b) Akta Kanak-Kanak 2001, seseorang tahanan bawah umur perempuan yang ditahan di lokap hendaklah dijaga oleh sekurang-kurangnya seorang anggota wanita. Namun dalam hal ini, mengikut laporan yang dibuat oleh mangsa, sel yang diduduki beliau tidak dijaga malah boleh dibuka oleh tahanan lain. Jika situasi ini benar, maka pihak polis wajib dipertanggungjawabkan atas kecuaian dan pengabaian terhadap mangsa serta ingkar terhadap arahan yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.


b) Tiada keperluan untuk polis menahan seseorang tahanan bawah umur dalam tempoh yang lama. Bagi kes-kes yang tidak serius, polis sewajarnya hanya menyoal siasat kanak-kanak tersebut di dalam bilik siasatan dan tidak perlu ditempatkan di dalam lokap. Kegagalan pihak polis dalam memastikan tidak wujud pergaulan antara kanak-kanak tersebut dengan tahanan dewasa adalah bertentangan dengan kehendak seksyen 85(a) Akta Kanak-Kanak.


3. EDICT pernah menasihati pihak polis sejak tahun lalu tentang keperluan menahan seseorang didalam musim pandemik ini. Bagi EDICT, pihak polis boleh mengelakkan seseorang itu daripada ditahan di dalam lokap yang mempunyai risiko jangkitan yang tinggi dan juga masalah-masalah lain seperti dalam kes kanak-kanak ini. Polis boleh meneruskan siasatan dengan menyoal siasat suspek atau saksi kes tanpa keperluan untuk menahan di dalam lokap.


4. Bagi mengelakkan perkara ini berulang, EDICT ingin menasihati PDRM untuk mengambil tindakan terhadap pegawai penyiasat bagi kes kanak-kanak berkenaan dan juga para anggota lain yang terlibat ketika kejadian itu berlaku di lokap tersebut. Selain itu, latihan untuk para anggota dalam mengendalikan atau berhadapan dengan kes-kes melibatkan kanak-kanak perlu dipertingkatkan.


5. Penubuhan IPCMC mesti disegerakan bagi menyiasat salah laku dan disiplin anggota dalam hal-hal seperti ini. Kelewatan kerajaan melaksanakan IPCMC hanya memberikan kesan negatif kepada kredibilibiti dan integriti pihak PDRM. Adalah amat memalukan kejadian seperti ini berlaku dalam sebuah balai polis yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi orang awam dan tahanan.


6. Kecuaian dan pengabaian pihak polis ke atas tahanan termasuk dalam kes ini adalah satu perkara yang serius. Hanya dengan tindakan tegas ke atas anggota akan dapat memberi pengajaran supaya kes-kes seperti ini tidak berulang. IPCMC adalah salah satu cara untuk memastikan para anggota dapat dibicara dengan adil dan mengembalikan keyakinan orang awam terhadap kredibiliti PDRM yang kini semakin tercemar akibat berita-berita mengenai kecuaian dan pengabaian seperti dalam kes ini.


EDICT

17 Jan 2021

63 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).