Search
  • EDICT Malaysia

EDICT kecewa SOP Covid-19 ke atas tahanan tidak dijaga, anggota polis maut.


1. Hari ini tular dalam kalangan pengamal undang-undang di Selangor mengenai kematian seorang anggota polis pengiring yang menjaga tahanan (Orang Kena Tuduh) di mahkamah Klang telah meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.


2. Sepanjang pemerhatian EDICT, kami melihat para tahanan dibawa ke mahkamah dalam keadaan yang tidak mengikut SOP. Selain tiada penjarakan fizikal, para tahanan juga tidak memakai pelitup muka seperti yang dikehendaki.


3. EDICT melihat isu ini adalah sangat penting kerana perkara ini boleh merisikokan nyawa para tahanan dan juga nyawa anggota polis kita sendiri yang bertugas menjaga dan mengiring para tahanan tersebut.


4. Adalah sangat penting untuk kerajaan segera memberi peruntukan tambahan kepada PDRM bagi menyediakan pelitup muka dan hand sanitizer untuk kegunaan para tahanan dan anggota. Tindakan ini adalah sangat penting dan mesti segera dilakukan agar penularan tidak berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di mahkamah termasuk para hakim, peguam, anggota polis, kakitangan mahkamah dan tahanan itu sendiri.


5. Para anggota pengiring juga mesti diingatkan untuk sentiasa memastikan para tahanan dibawa dalam keadaan yang mengikut penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan mereka diberikan hand sanitizer. Proses sanitiasi perlu dilakukan setiap kali kenderaan polis atau penjara digunakan untuk membawa tahanan. Begitu juga dengan penjara dan lokap. Bukan sahaja lokap polis, tetapi juga lokap mahkamah perlu disanitasi setiap kali sebelum dan selepas tahanan dimasukkan. Walaupun semua langkah ini dilihat akan memakan kos dan masa, namun ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk manfaat dan keselamatan semua pihak khususnya mereka yang perlu bekerja di mahkamah. Kelewatan dalam bertindak hanya akan merugikan polis dan mahkamah. Ibarat kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


6. EDICT juga ingin menggesa PDRM dan mahkamah agar mengkaji semula tindakan membawa tertuduh atau tahanan ke mahkamah di musim pandemik ini. EDICT faham bahawa mengikut undang-undang para tahanan wajib dihadapkan ke mahkamah bagi kes jenayah pada setiap kali pendengaran kes namun di musim pandemik ini PDRM perlu mengambil satu langkah dan tindakan yang boleh mengurangkan masalah penularan virus ini.


EDICT

28 Januari 2021

61 views0 comments