Search
  • EDICT Malaysia

EDICT kesal SUHAKAM dahului mahkamah dalam kes kematian Jestus Kevin



1. Merujuk kepada laporan berita oleh stesen-stesen media (Malaysiakini, Malaymail, dan Freemalaysiatoday) bertarikh 21 Januari 2021 mengenai dapatan siasatan kematian mendiang Jestus Kevin A/L Ganaprakasam, EDICT ingin merakam rasa kesal dengan keputusan yang telah dibuat SUHAKAM di dalam kes ini. Pengumuman SUHAKAM semalam dilihat sebagai satu tindakan yang sesungguhnya telah mendahului mahkamah Koroner.


2. EDICT berpandangan, kes-kes kematian dalam tahanan hendaklah dikendalikan oleh mahkamah koroner. Menurut Kanun Prosedur Jenayah (seksyen 328-341A), kematian dalam tahanan hanya boleh disiasat dan diputuskan sebab serta punca kematiannya oleh seorang hakim koroner melalui siasatan yang dijalankan di mahkamah koroner.


3. Selain itu, menurut seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 sendiri dengan jelas menyatakan bahawa SUHAKAM tidak boleh menyiasat mana-mana kes yang sedang berjalan di mahkamah.



(2) Suruhanjaya tidaklah boleh menyiasat apa-apa aduan yang berhubungan dengan apa-apa pengataan pelanggaran hak asasi manusia yang—


(a) merupakan hal perkara apa-apa prosiding yang belum selesai di mana-mana mahkamah, termasuklah apa-apa rayuan; atau


(b) telah diputuskan secara muktamad oleh mana-mana mahkamah.


(3) Jika Suruhanjaya menyiasat suatu pengataan di bawah subseksyen 12(1) dan sementara menunggu penyelesaian siasatan itu, pengataan itu menjadi hal perkara mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, Suruhanjaya hendaklah berhenti dengan sertamerta daripada melakukan siasatan itu.




4. Peguam daripada EDICT telah mengendalikan kes kematian Jestus Kevin sejak awal kes ini dilaporkan kepada EDICT. Kami telah berhempas-pulas, berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur bagi memastikan inkues berkenaan dapat dijalankan. Namun begitu, pihak SUHAKAM tidak pernah memaklumkan kepada pihak peguam yang mewakili keluarga tentang siasatan yang mereka lakukan. Kekeliruan ini akan memberikan kesan kepada prosiding di dalam kes-kes kematian yang bakal dijalankan pada masa akan datang. Sekiranya para peguam dimaklumkan, sudah tentu mereka dapat menasihati pihak SUHAKAM akan prosiding yang sedang diadakan di Mahkamah.


5. Kami juga ingin menyatakan bahawa, dapatan apa-apa siasatan SUHAKAM tidak akan dapat memberikan keadilan terbaik buat keluarga mangsa. Sebaliknya keputusan inkues di mahkamah koroner yang akan memberikan tekanan kepada pihak yang terlibat serta boleh membawa kepada pendakwaan ke atas mereka yang menyebabkan kematian mangsa. Selain itu keluarga juga boleh menggunakan keputusan inkues serta semua keterangan yang dikemukakan di dalam mana-mana prosiding inkues bagi tujuan mendapatkan gantirugi akibat daripada kematian tersebut.


6. Siasatan yang dijalankan mahkamah juga sebenarnya adalah lebih terbuka dan adil memandangkan prosiding dijalankan secara terbuka dimana para saksi akan mengangkat sumpah untuk memberikan keterangan. Segala dokumen akan ditanda dan diteliti oleh ketiga-tiga pihak, iaitu hakim Koroner, peguam dan pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara. Ini berbeza dengan cara penyiasatan SUHAKAM yang dilakukan secara sulit dan rahsia. Dokumen-dokumen juga tidak didedahkan untuk diteliti oleh pihak-pihak berkepentingan. Prosiding di dalam mahkamah juga dapat mengimbangi sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang diarahkan memberi keterangan. Peguam dan pegawai pengendali juga boleh bersoal balas ketika prosiding untuk mendapatkan penjelasan secara jelas dan adil terus dari saksi saksi. Prosiding di Mahkamah Koroner adalah siasatan yang terbaik dan telus demi mencapai keadilan di dalam mana-mana kes.




7. EDICT berharap, pada masa akan datang, pihak SUHAKAM dapat bertindak dengan lebih berhati-hati dan tidak menjalankan apa-apa siasatan berkenaan mana-mana kes kematian di dalam tahanan. Ianya bukan sahaja merupakan kehendak undang – undang malah akan mengelakkan duplikasi di dalam mengadakan apa-apa siasatan kes-kes kematian di dalam tahanan.


EDICT

22 Januari 2021


13 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).