Search
  • EDICT Malaysia

EDICT mahu kerajaan jelaskan 3 perkara



1. EDICT mengikut rapat perkembangan terkini susulan sidang media yang dilakukan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 30 April lalu.


2. Dalam sidang media berkenaan, pelbagai isu telah disentuh oleh Tan Sri yang sehingga hari ini masih tidak dijawab oleh Menteri Dalam Negeri serta barisan kepimpinan kerajaan yang lain.


3. Pertama: yang ingin kami sentuh ialah berkenaan campurtangan dan rancangan yang didedahkan melalui audio dan diperakui oleh Menteri Dalam Negeri sendiri. EDICT ingin menegaskan bahawa perkara tersebut jelas telah mencemarkan nama baik kerajaan serta melanggar semangat integriti yang dilaungkan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini. EDICT ingin menegaskan bahawa budaya menyusun “chai” dalam politik tidak harus dibawa ke dalam urusan pelantikan pegawai tinggi polis. Memandangkan nama Yang Dipertuan Agong turut dipetik dalam audio tersebut, EDICT menggesa campur tangan YDPA Agong bagi memastikan perkara ini dapat disiasat dengan adil. EDICT juga menggesa agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyiasat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berkemungkinan terlibat melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam urusan menyusun pegawai tinggi polis mengikut kehendak peribadi.


4. Kedua: EDICT ingin menyentuh mengenai isu ketiadaan pejabat bagi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang merupakan sebuah badan penting dalam mengendalikan isu-isu berkaitan institusi PDRM dan sebuah badan yang bertanggungjawab dalam menangani permasalahan yang berlaku dalam PDRM. Agak mengejutkan apabila Tan Sri Abdul Hamid mendedahkan bahawa Suruhanjaya itu tidak pernah mempunyai pejabat malahan mesyuarat juga sangat jarang diadakan. Bagaimanakah sebuah badan penting seperti SPP ini tidak mempunyai badan pengurusannya sendiri? Malahan menurut Tan Sri Abdul Hamid, Suruhanjaya yang menyiasat salahlaku dan masalah disiplin anggota polis ini tidak diambil berat malah terdapat banyak kes yang dibawa ke perhatian SPP masih tidak diselesaikan.


5. Ketiga: EDICT melihat trend PDRM kebelakangan ini yang ibarat lipas kudung menahan dan menyiasat aktivis serta wartawan akibat mengkritik kerajaan adalah sebagai satu trend yang tidak sihat. Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak menjenayahkan sebarang kritikan terhadap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa. EDICT justeru ingin menyeru pihak PDRM agar menghentikan intimidasi ke atas para aktivis dan pengamal media yang hanya bertindak menyampaikan kegelisahan masyarakat akibat daripada kelemahan pentadbiran kerajaan.


6. EDICT juga ingin mengingatkan kerajaan dan PDRM bahawa, kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada kerajaan dan polis berkemungkinan akan menjadi semakin pudar sekiranya isu-isu yang diketengahkan di atas tidak segera ditangani. Rakyat bukan sahaja sedang tertekan dengan situasi politik dan langkah kerajaan pada hari ini, malah sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang semakin sukar. Kerajaan diharapkan dapat mengambil langkah yang perlu untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.


EDICT

3 Mei 2021

3 views0 comments