Search
  • EDICT Malaysia

EDICT sambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Anugerah gantirugi kepada keluarga arwah Kamarulnizam



1. Pagi ini 7 haribulan Julai Tahun 2021, jam lebih kurang 10 pagi, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan keluarga arwah Kamarulnizam yang mati dalam tahanan Jabatan Penjara di Tapah pada tahun 2014 dan membenarkan gantirugi sebanyak RM250,000.00 sebagai gantirugi kecuaian.

2. Pada 24 Jun yang lalu, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah meminda keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dalam menganugerahkan gantirugi kepada keluarga arwah. Mahkamah Rayuan pada hari tersebut telah memutuskan untuk menganugerahkan gantirugi am kecuaian, gantirugi khas, dan gantirugi kebergantungan selain kos-kos guaman dan pengebumian. Mahkamah Tinggi Ipoh dalam keputusannya pada tahun 2019 tidak menganugerahkan gantirugi akibat kecuaian, gantirugi khas dan gantirugi tanggungan.


3. Mahkamah Rayuan telah menganugerahkan kepada keluarga mangsa sebanyak RM 250,000.00 bagi gantirugi am akibat kecuaian dan sebanyak RM 40,800.00 bagi gantirugi tanggungan. Ini menjadikan kesemua jumlah gantirugi adalah sebanyak RM 337,800.00 termasuk gantirugi khas sebanyak RM 10,000.00, kos guaman, 35,000.00 dan perbelanjaan pengebumian RM 2000.00.



4. EDICT menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah atas keputusan tersebut. EDICT juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peguam yang mengendalikan kes ini sejak peringkat awal di peringkat inkues sehinggalah ke hari ini di peringkat Mahkamah Rayuan. Peguam-peguam dalam kes ini terdiri daripada Tuan M. Visvanathan, Tuan R.Karnan, dan Encik Sanjay Nathan.


5. EDICT juga ingin mengingatkan kerajaan, keputusan ini adalah satu isyarat daripada mahkamah bahawa apa-apa tindakan yang menyebabkan kematian dalam tahanan adalah satu tindakan yang tidak wajar, mesti dielak dan tidak harus berlaku. Pihak kerajaan sepatutnya berasa terkilan dengan setiap kematian dalam tahanan yang berlaku kerana ini hanya akan merugikan pihak kerajaan serta rakyat sendiri.


6. Pihak kerajaan diingatkan agar segera membaik-pulih dan mengambil semua langkah bagi menangani kes-kes kematian dalam tahanan. Keadaan lokap, penjara dan pusat-pusat tahanan hendaklah dinaiktaraf, dijaga kebersihan dan menepati piawaian hak asasi manusia. Seterusnya latihan demi latihan harus diberikan kepada semua anggota polis, penjara mahupun Imigresen agar memahami cara-cara layanan munasabah secara adil ke atas tahanan agar mereka yang ditahan mendapat layanan yang berperikemanusiaan.

7) EDICT berharap agar semua pihak dapat bekerjasama untuk mencapai angka sifar dalam jumlah kes kematian dalam tahanan.


EDICT

7 Julai 2021

364 views0 comments