Search
  • EDICT Malaysia

EDICT Setuju Dengan KPN Hamid Bador Tetapi Bersyarat.


EDICT adalah sebuah organisasi yang mengambil berat dalam mengangkat martabat pihak polis selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador semalam.

Di dalam suatu laporan yang dipetik BERNAMA, Hamid sependapat dengan sebahagian daripada kenyataan yang dikeluarkan EDICT pada 18 Mac bertajuk “Kita Mesti Hargai Anggota Polis Ketika Musim Penularan COVID-19 ini”.

Seperti yang telah kami jelaskan sejak dari awal lagi, pihak polis adalah barisan hadapan dalam menguatkuasakan arahan yang telah menyukarkan banyak pihak, sehingga menimbulkan ketegangan.

Polis mestilah mengendalikan ketidakpuasan hati orang ramai ini dengan sensitif. Mereka mesti bertindak sedemikian dalam tugasan mereka untuk tempoh waktu yang panjang, berminggu-minggu dan mungkin sehingga berbulan-bulan dan meletakkan diri mereka dalam keadaan yang berbahaya demi keselamatan kita semua.

Tindakan KPN mengingatkan orang awam mengenai pengorbanan pihak polis adalah wajar dan tepat. Kami berasa senang hati apabila KPN telah memastikan bahawa pihak polis mengambil segala tindakan yang wajar dalam melindungi masyarakat daripada COVID-19.

Kami mengalu-alukan tindakan KPN tersebut dan ucapan beliau yang penuh inspirasi iaitu “Polis menjalankan tugas dalam misi yang murni untuk mencapai objektif memecahkan rantai jangkitan COVID-19 demi menyelamatkan orang ramai”. Kami sangat bersetuju.

Walau bagaimanapun, kami bimbang dengan ucapan beliau yang dilaporkan iaitu: “Mana-mana individu yang berniat untuk berbuat demikian (rakam dan ambil gambar untuk burukkan imej polis) diberi peringatan kerana, ingatlah bahawa di luar sana banyak pihak yang memerhati anda untuk ditangkap.”

Kami khuatir kerana ungkapan sedemikian akan menyebabkan segala apa yang diperkatakan oleh KPN dalam mereformasikan institusi polis tidak akan bermakna lagi. Di dalam surat terbuka beliau yang diketahui umum mengenai kerajaan kleptokrasi, beliau menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk mengetuai Jabatan Integriti (JIPS) supaya beliau dapat membantu dalam membersihkan institusi polis.

Rakyat Malaysia amat terkesan dan sedar mengenai salah laku polis yang cuba diselindungi, menjadi kebiasaan dan dilakukan berulang-kali oleh sebahagian anggota polis sehingga menyebabkan ramai yang terkorban di dalam tahanan.

Rakyat Malaysia juga maklum mengenai insiden kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh yang telah melalui prosedur inkuiri SUHAKAM yang teliti dan berakhir setahun yang lalu, di mana adalah diputuskan, polis bertanggungjawab dalam kes kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh. Namun, pihak polis masih gagal menampilkan mana-mana pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.

Rakyat juga sedar mengenai penentangan pihak polis dalam pelaksanaan IPCMC, yang mana IPCMC diharapkan menjadi peruntukan undang-undang yang berdaya kuasa kini berubah menjadi “harimau tidak bertaring”. Dalam suasana politik kini, IPCMC kini menjadi tanda tanya.

Ketidakpercayaan terhadap polis semakin tinggi. Orang awam beranggapan, memandangkan tidak ada pegawai atasan polis dan kerajaan yang berhasrat untuk melaksanakan pembaharuan, mereka perlu menjadi pemerhati atas tindakan polis.

Inilah yang menjadi sebab mengapa orang ramai merakam segala situasi mereka lalui apabila berhadapan dengan pihak polis. Ada di kalangan mereka bertindak sebagai pelapor awam kerana pihak media tidak boleh berada di setiap tempat pada setiap masa.

Kami juga maklum bahawa keperluan untuk mengawasi pihak polis telah lama wujud di Malaysia. Lokap dan bilik-bilik siasatan dilengkapi kamera video. Polis juga sedang dalam usaha untuk memasang kamera badan pada anggotanya.

Oleh itu, kami terkejut dengan kenyataan KPN tersebut iaitu - “banyak pihak yang memerhati anda (individu yang merakam video) untuk ditangkap”. Siapakah yang dimaksudkan dengan “banyak pihak” ini?

Jika bukan kerana rakaman yang dibuat dan disebarkan oleh indivivu-individu tersebut – malah disahkan pula oleh pihak polis – pasti polis dan kerajaan tidak akan tahu mengenai apa yang sebenarnya dihadapi oleh masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

EDICT menyeru agar orang awam tidak gentar dengan kenyataan Ketua Polis Negara tersebut. Teruskan memuji kerja-kerja yang mulia yang dilakukan oleh anggota polis.

Berkhidmat didalam pasukan polis bukanlah sesuatu yang remeh. Polis telah melakukan pengorbanan besar dan tertakluk kepada peruntukan Akta Polis 1967.

Anggota polis menguatkuasakan undang-undang, menjaga keharmonian dan keselamatan negara, menyiasat dan mencegah jenayah. Mereka sentiasa bersiap siaga. Mereka sangat membantu dalam banyak perkara – mengiringi dan menjaga banduan dan banyak lagi tugasan yang mereka lakukan. Mereka harus diberi penghormatan.

Menjadi anggota polis adalah satu kerjaya yang mulia. Selagi mereka mendaulatkan undang-undang, maka mereka wajib dihormati. Mereka yang bertugas di dalam situasi yang sukar ini pasti akan melakukan kesilapan. Tidak ada seorang pun yang sentiasa sempurna. Namun melakukan kesalahan dengan sengaja, tidak mengakui kesilapan dan berulang-ulang melakukan kesalahan adalah tidak boleh diterima.

Kita terus menghormati pihak polis dan mempertahankan mereka atas pengorbanan mereka terhadap kita semua. Namun, pada masa yang sama, kita perlu merekodkan dan menyebarkan perbuatan salah laku segelintir anggota walaupun di operasi sekatan jalanraya. Berani kerana benar, takut kerana salah.


23 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).