Search
  • EDICT Malaysia

EDICT sokong Saranan Majlis Peguam Untuk Wujudkan Akta Koroner


1. Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden Majis Peguam, Tuan Salim Bashir, pada 26 November yang lalu, Majlis Peguam telah menyarankan supaya kerajaan mewujudkan Akta Koroner bagi melancarkan lagi perjalanan kes-kes inkues di Malaysia.


2. EDICT ingin menyatakan sokongan atas saranan yang dibuat oleh Majlis Peguam tersebut.


3. Selaku sebuah badan NGO yang fokus dalam mengendalikan kes-kes inkues berkaitan kematian dalam tahanan, EDICT merasakan cadangan mewujudkan Akta Koroner ini adalah satu keperluan yang benar-benar mendesak ketika ini.


4. Terlalu banyak kes kematian dalam tahanan berlaku tanpa diadakan inkues. Keadilan untuk mangsa dan ahli keluarga mangsa diabaikan begitu sahaja.


5. Walaupun seksyen 334 Kanun Keseksaan telah mewajibkan pelaksanaan inkues dalam kes-kes kematian dalam tahanan, namun mahkamah koroner dilihat tidak acuh dalam perkara ini.


6. Kematian dalam tahanan dianggap tidak penting melainkan setelah mendapat liputan meluas oleh pihak media.


7. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 30 Mac 2017, antara tahun 2010-2016, hanya sebanyak 27 daripada 107 kes kematian dalam tahanan polis telah diadakan inkues. Ini menunjukkan betapa lemahnya proses penyiasatan kematian dalam tahanan di negara kita.


8. Oleh itu, EDICT berpandangan bahawa kerajaan harus mendengar dan mengangkat cadangan yang dikeutarakan ini serta dengan segera mengambil langkah untuk mewujudkan dan melaksanakan Akta Koroner supaya setiap kematian yang berlaku dalam tahanan di negara ini akan mendapat pembelaan sewajarnya.


9. EDICT juga ingin menyatakan bahawa kami sentiasa bersedia untuk sebarang konsultasi dan perbincangan dalam proses ke arah mewujudkan Rang Undang-Undang Akta Koroner tersebut.

16 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).