Search
  • EDICT Malaysia

EDICT sokong usaha SUHAKAM dan PDRM ambil langkah kurangkan kadar kematian dalam tahanan

1. EDICT merujuk kepada 3 laporan media.


Yang pertama: adalah mengenai cadangan SUHAKAM untuk mewujudkan unit perubatan di 5 lokap berpusat sebagai projek perintis bagi melihat penurunan dalam angka kematian dalam tahanan.


a) Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada tahun 2016, hampir 90% kes kematian yang berlaku dalam lokap polis adalah diakibatkan kegagalan polis untuk memberikan ubat-ubatan dan rawatan perubatan kepada tahanan.


b) Di dalam soal balas di mahkamah pula, EDICT juga mendapati kebanyakan anggota polis tidak peka dan tidak tahu tentang apa yang perlu dilakukan terhadap tahanan yang sakit. Hal ini menjadi penyebab utama mengapa tahanan gagal diselamatkan. Langkah menempatkan golongan ahli dalam bidang perubatan di lokap-lokap ini diharapkan dapat mengubah keadaan menjadi lebih baik.


c) EDICT berharap usaha menempatkan unit perubatan ini di lokap polis akan dilakukan segera bagi membantu mengurangkan kadar kematian dalam tahanan dan seterusnya dapat mencegah kematian daripada berlaku.





2. Yang kedua; adalah berkenaan kenyataan media Ketua Polis Negara Dato' Seri Panglima Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani berkenaan arahan terbaru daripada beliau kepada semua anggota PDRM supaya menghantar para tahaan untuk dibuat pemeriksaan perubatan sebelum dihantar ke lokap.


a) Perkara ini telah pun terkandung di dalam Kaedah-Kaedah Lokap 1953 peraturan ke 10 yang menyatakan:


Pegawai Perubatan hendaklah seberapa yang boleh, memeriksa tiap-tiap banduan dengan seberapa segera selepas ia masuk ke dalam lokap dan akan mengesahkan sama ada banduan itu layak untuk dipenjara dan, jika banduan itu disabitkan kesalahannya, diberi apa jenis kerja yang boleh dibuatnya.”


b) Namun begitu, EDICT tetap menyambut baik usaha Ketua Polis Negara dalam hal ini agar arahan ini dapat menjadi mandatori kepada semua anggota polis yang terlibat dalam penahanan seseorang tahanan.


c) Ketidak-patuhan kepada Kaedah 10 dalam Kaedah-Kaedah Lokap 1953 ini adalah satu perlanggaran tugas yang boleh diambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini ke atas tahanan.




3. Yang ketiga; EDICT juga ingin memberikan respon ke atas kenyataan media SUHAKAM bertarikh 31 Mei 2021 yang menjawab kepada kenyataan EDICT sebelum ini bahawa SUHAKAM tidak mempunyai hak untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan. Perkara ini adalah jelas termaktub dalam seksyen 334 Kanun Prosedur jenayah dimana hanya Mahkamah Koroner yang mempunyai kuasa untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan.


a) Kanun Prosedur Jenayah adalah undang-undang spesifik yang telah digubal oleh Parlimen manakala Akta SUHAKAM hanyalah satu akta umum berkenaan isu-isu hak asasi manusia. Undang-Undang yang digubal secara spesifik ini hendaklah dipatuhi dan diberikan keutamaan dalam kes-kes sebegini.


b) EDICT juga ingin mengingatkan SUHAKAM agar menjawab surat yang telah dihantar oleh pengerusi EDICT kepada SUHAKAM bertarikh 26 Januari 2021. Walaupun setelah hampir 5 bulan, tiada apa-apa respon daripada pihak SUHAKAM untuk menjawab surat tersebut bagi menjelaskan persoalan-persoalan yang kami timbulkan dalam isu-isu berkaitan penyiasatan kes kematian dalam tahanan. Pengerusi EDICT juga telah menulis satu artikel berkenaan perkara ini yang telah dilaporkan di dalam Current Law Journal (2021 ) 1 LNS(A) xxxii “SUHAKAM: Empowered to inquire into custodial death cases?”



EDICT

1 Jun 2021

41 views0 comments