Search
  • EDICT Malaysia

EDICT tegur wakil rakyat dan NGO yang menggesa SUHAKAM, EAIC dan SPRM siasat kematian dalam tahanan



1. EDICT merujuk kepada kenyataan media dan laporan berita yang melaporkan bahawa wujud beberapa ahli parlimen yang mendesak SUHAKAM dan EAIC untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan. Selain para ahli parlimen, wujud desakan daripada beberapa kumpulan NGO yang membuat desakan sama.


2. EDICT ingin mengingatkan bahawa desakan menyiasat kematian dalam tahanan ini patut dibuat ke atas Mahkamah Koroner dan Pejabat Peguam Negara yang berkuasa mengendalikan inkues di Mahkamah Koroner.


3. EDICT juga kecewa, masih ada Ahli Parlimen, ADUN serta kumpulan NGO hak asasi manusia yang masih mengharapkan SUHAKAM dan EAIC untuk menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan yang bercanggah dengan peruntukkan jelas di dalam Kanun Prosedur Jenayah.


4. Kuasa menyiasat kes-kes kematian dalam tahanan adalah kuasa mutlak Mahkamah Koroner memandangkan perkara ini telah dimandatkan melalui seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.


5. Tidak ada pihak-pihak lain yang berkuasa menentukan sebab dan punca kematian seseorang tahanan kecuali Mahkamah Koroner.


6. EDICT juga sangat terkejut wujud desakan beberapa aktivis dan pemimpin masyarakat sivil yang mahukan SPRM menyiasat kematian dalam tahanan. Perkara ini adalah sangat tidak masuk akal dan melanggar peruntukan yang jelas terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah.


7. Sekiranya ada mana-mana pihak yang inginkan pengendalian kes-kes kematian dalam tahanan ini disiasat oleh badan-badan selain daripada Mahkamah Koroner maka perkara pertama yang mereka perlu lakukan adalah melobi para ahli parlimen untuk meminda Bab 32 dalam Kanun Prosedur Jenayah terlebih dahulu bagi membolehkan perkara ini dilakukan.


8. Sebagai kumpulan NGO, aktivis dan ahli politik yang memartabatkan undang-undang, mereka sepatutnya bersama-sama menghormati dan mengiktiraf undang-undang yang sedia ada dalam mencari keadilan untuk keluarga-keluarga mangsa mati dalam tahanan. Tidak ada gunanya mereka memarahi golongan yang tidak menghormati undang-undang negara sekiranya mereka sendiri melakukan perkara sama.


EDICT

29 Mei 2021

65 views0 comments