Search
  • EDICT Malaysia

EDICT terima baik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes saman sivil atas kematian Kamarulnizam


1. Hari ini merupakan keputusan rayuan saman sivil kematian Kamarulnizam Ismail yang didapati mati pada 8 Mac 2014 di Penjara Tapah, Perak. Keputusan ini berikutan rayuan oleh kedua-dua pihak iaitu keluarga mangsa dan pihak kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang diputuskan pada 14 Ogos 2019.


2. Mahkamah Tinggi Ipoh pada penghakimannya yang lalu telah mengarahkan agar defendan yang terdiri daripada kerajaan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia agar membayar sejumlah gantirugi yang keseluruhannya berjumlah RM 164,000 kepada plaintif (keluarga mangsa).


3. Dalam rayuan oleh kedua-dua pihak, kerajaan, Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Penjara telah merayu agar gantirugi atas penahanan salah dan salahlaku penjawat awam dapat diketepikan manakala pihak keluarga telah merayu agar gantirugi tersebut dinaikkan berserta dengan gantirugi-gantirugi lain seperti gantirugi kecuaian, gantirugi hilang tempat bergantung dan gantirugi khas dapat diberikan.


4. Hari ini, barisan panel Hakim di Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan pihak kerajaan agar gantirugi atas penahanan salah dan salahlaku penjawat awam diketepikan sejumlah RM 150,000. Namun begitu, mahkamah telah membenarkan rayuan keluarga mangsa agar gantirugi kecuaian dibenarkan dalam keadaan kes ini. Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7.7.2021 sebagai tarikh keputusan bagi menetapkan jumlah yang akan diberikan sebagai gantirugi kecuaian.


5. Mahkamah Rayuan juga telah membenarkan gantirugi tanggungan yang mana sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Keputusan berkenaan jumlah yang dibenarkan juga telah ditetapkan untuk tarikh 7.7.2021.



6. Gantirugi khas yang dituntut plaintif pula turut dibenarkan dengan jumlah sebanyak RM 10,000. Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini tidak memberikan gantirugi khas kepada pihak keluarga.


7. Kos prosiding di Mahkamah Tinggi dibenarkan sebanyak RM30,000.00 berbanding dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang hanya membenarkan RM12,000.00


8. EDICT berharap satu precedent baru yang baik akan dibuat di dalam keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Julai. EDICT juga berharap agar keputusan yang bakal diumumkan pada 7 Julai akan datang dapat memberi pengajaran dan dijadikan teladan oleh pihak-pihak penguatkuasa agar lebih peka kepada keperluan menjaga tahanan dengan baik mengikut lunas undang-undang.


9. EDICT akan terus bersama-sama dengan pihak keluarga mangsa sehingga ke penghujung proses perundangan ini dijalankan. EDICT juga ingin melahirkan penghargaan kepada para peguam yang telah bertungkus lumus dan berkorban masa, wang dan tenaga demi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa dapat dicapai.



EDICT

24 Jun 2021

83 views0 comments