Search
  • EDICT Malaysia

EDICT tidak boleh menerima jawapan Pesuruhjaya Polis Sarawak



1. EDICT sangat terkejut serta terkilan dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak Pesuruhjaya Polis Datuk Aidi Ismail hari ini berkenaan kes rogol seorang tahanan bawah umur yang berpunca daripada kecuaian dan kegagalan pihak polis.


2. EDICT ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak tersebut adalah satu kenyataan yang tidak boleh diterima dan sangat memalukan PDRM sebagai sebuah institusi agensi penguatkuasa undang-undang yang profesional, berintegriti, beretika tinggi serta berwibawa.


3. Merujuk kepada kenyataan tersebut (seperti yang dilaporkan di FMT pada 18 Januari), Pesuruhjaya Polis Datuk Aidi Ismail menyebut bahawa kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lokap tersebut tidak dapat memberi maklumat berkenaan apa yang berlaku di dalam lokap tersebut memandangkan kamera di lokap tersebut tidak mempunyai sistem rakaman. Bagaimanakah seorang Pesuruhjaya Polis yang sepatutnya memastikan setiap ciri keselamatan di mana-mana pusat tahanan dibawah jagaan serta seliaan beliau berfungsi dengan baik tidak mengetahui mengenai isu sistem rakaman CCTV yang tidak berfungsi seperti yang berlaku di dalam kes ini? Adakah beliau juga tidak tahu bahawa tujuan kerajaan memutuskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada Mei 2013 adalah bertujuan untuk merakam setiap pergerakan yang berlaku melibatkan tahanan bukan sahaja bagi tujuan keselamatan tahanan akan tetapi bagi mengelakkan tohmahan yang tidak berasas terhadap anggota polis? Rakaman CCTV tersebut bertujuan untuk dilihat semula sekiranya terdapat wujud apa-apa dakwaan penderaan dan/atau kematian dalam tahanan. Adakah beliau tidak faham bahawa rakaman CCTV adalah penting dalam apa-apa proses siasatan ketika kes dibicarakan di mahkamah?


4. Lebih memalukan, kes yang serius seperti yang berlaku di dalam kes ini, melibatkan seorang gadis bawah umur yang dirogol akibat kelalaian anggota polis sendiri, seolah-olah tidak dipandang serius oleh seorang pesuruhjaya polis negeri. Di dalam kes ini beliau mengarahkan timbalannya untuk menyiasat kes tersebut. Mengapakah satu pasukan polis luar dari Sarawak tidak ditugaskan menyiasat kes ini? Bukankah siasatan kes ini perlu diadakan secara bebas dan telus demi keyakinan rakyat ? Pada tahap ini kami ingin merujuk kepada kes Ganga Gowri lwn Pendakwa Raya (2012) MLRHU 1662 di mana YA Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim telah memutuskan seperti berikut :-


Akhirnya, saya ingin membuat pemerhatian bahawa seorang pegawai penyiasat bagi kes-kes kematian semasa dalam tahanan pihak polis, adalah wajar pegawai penyiasat daripada balai polis atau IPD yang lain menjalankan siasatan. Lebih-lebih lagi sekiranya dalam kes kematian tersebut terdapat tohmahan bahawa pegawai atau anggota balai polis yang sama dikatakan terlibat dengan kematian simati tersebut. Ini adalah supaya siasatan tersebut dilihat lebih transperen, berintegriti serta meyakinkan semua pihak terutama ahli keluarga kepada simati. eLaw Citation: [2012] MLRHU 1662


5. EDICT juga mendapati, kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak tersebut langsung tidak memberikan maklum balas mengenai prosedur penahanan kanak-kanak perempuan di bawah umur yang telah kami sentuh dalam kenyataan media yang lalu. Pihak polis jelas tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Antara kesalahan polis yang EDICT bangkitkan adalah:


i) Tiada penjaga wanita diletakkan bersama tahanan tersebut,

ii) Membiarkan kanak-kanak tersebut bergaul dengan tahanan dewasa, serta

iii) Meletakkan kanak-kanak tersebut didalam lokap tanpa sebab yang munasabah.


6. EDICT ingin menegaskan bahawa setelah melihat semua fakta dan konteks di dalam kes ini, kenyataan media yang diberikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Pesuruhjaya Polis Datuk Aidi Ismail dalam kes ini adalah tidak meyakinkan dan menimbulkan pelbagai persoalan berkenaan cara PDRM khususnya di Sarawak menjalankan tugas-tugas mereka mengikut peruntukkan undang-undang.



7. Kami dengan ini ingin menyeru agar Pesuruhjaya Polis Sarawak untuk segera meletakkan jawatan akibat kesemua kegagalan tugas serta semua kecelaruan ini. Kami berpendapat bahawa mana-mana pesuruhjaya polis negeri mestilah bersikap tegas dan maklum mengenai apa yang berlaku dan apa yang diperlukan oleh sebuah balai polis khususnya melibatkan perkara-perkara penting dalam memastikan keselamatan tahanan terjaga rapi. Jawapan-jawapan seperti CCTV tidak dapat merakam kejadian, mengarahkan timbalan menyiasat kes, serta lain-lain kegagalan di dalam kes ini jelas membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk terus memegang jawatan ketua polis negeri.


EDICT

19 Jan 2021


271 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).