Search
  • EDICT Malaysia

Empat Sebab Mengapa Pesalah PKP Tidak Patut Dihantar Ke Lokap



EDICT terkejut dengan satu laporan berita semalam (lihat pautan) yang menyebut Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador mengatakan bahawa beliau menyokong keputusan agar pesalah-pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di lokap sebagai menggantikan hukuman kompaun.

Seperti yang telah kami nyatakan berulang kali sejak bermulanya pandemik ini, menahan pesalah-pesalah PKP di dalam lokap hanya akan menggagalkan usaha penjarakan sosial yang menjadi kunci utama dalam mengekang penularan Covid-19 serta merupakan sasaran utama PKP. Nampaknya tukang gunting rambut dan para hakim lebih memahami perkara ini berbanding Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Juga telah kami katakan sebelum ini, meletakkan tahanan baru di dalam lokap boleh mendatangkan risiko jangkitan terhadap tahanan-tahanan yang sedia ada dan kakitangan di lokap. Ini kerana tahanan-tahanan yang sedia ada kebanyakannya mungkin mempunyai tahap imuniti yang rendah akibat penyakit yang sedang mereka hidapi. Mereka akan lebih mudah dijangkiti.

Kami ingin mengingatkan Ketua Polis Negara , MKN, kakitangan lokap dan semua pihak yang berkenaan mengenai data yang didedahkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam satu jawapan dalam sidang parlimen pada Mac 2017. Beliau mendedahkan data untuk tempoh 7 tahun sehingga 2016.

Pertama, secara purata, 16 orang mati setiap tahun di dalam lokap. Seharusnya kematian dalam tahanan tidak boleh berlaku kerana undang-undang mewajibkan hanya yang benar-benar sihat sahaja yang boleh ditahan, tidak kiralah untuk tempoh 1 malam atau 28 hari sekalipun. Angka berkenaan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam lokap di negara kita.

Kedua, “punca kematian” yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri tersebut menandakan kegagalan pihak polis untuk menunjukkan mereka bertanggungjawab ke atas nyawa tahanan. Punca kematian yang sering dikatakan adalah keadaan kesihatan mereka seperti HIV-AIDS, masalah jantung dan darah tinggi. Mereka sepatutnya dihantar ke hospital, bukannya lokap!

Hal yang demikian berpunca daripada pertama, kegagalan pihak kakitangan lokap untuk menyediakan bantuan rawatan kecemasan. Menurut Peraturan Perintah Tetap (Operasi), seperti yang dinyatakan oleh saksi daripada anggota polis, pegawai penyiasat dikehendaki mengaturkan pengiring untuk membawa tahanan ke hospital; dan kedua, kekurangan peruntukan undang-undang bagi memastikan tahanan-tahanan mendapat preskripsi perubatan yang diperlukan. Kami memberikan empat contoh berdasarkan kes-kes yang telah kami kendalikan -

Chandran Perumal – meninggal dunia di dalam lokap berpusat IPD Dang Wangi pada bulan September 2012 kerana beliau dinafikan untuk mendapatkan ubatan bagi penyakit darah tinggi. Walaupun majistret telah mengarahkan pegawai polis di lokap untuk mendapatkan bantuan perubatan untuk mendiang, pihak polis tidak mematuhi arahan tersebut, tetapi hanya membiarkan mendiang terbaring tidak bernyawa di dalam sel selama 11 jam sebelum kematiannya dilaporkan. Dua orang yang ditahan bersama mendiang pula dinafikan rawatan dialisis.

Benedict Thanilas – meninggal dunia di dalam lokap berpusat di Jinjang pada bulan Julai 2017. Dalam prosiding inkues terhadap kematiannya, telah dikemukakan fakta bahawa kematian mendiang adalah atas sebab ditahan walaupun baru sahaja menjalani pembedahan jantung. Seorang pegawai atasan polis tidak mengendahkan bantahan yang dibuat oleh pegawai bertugas di lokap tersebut supaya mendiang tidak ditahan. Terdapat juga bukti yang kukuh menunjukkan mendiang dinafikan untuk mendapatkan lapan jenis ubat yang perlu diambil secara berjadual bersama dengan pemakanan yang sesuai bagi memastikan beliau terus hidup.

Thanabalan Subramaniam – meninggal dunia di dalam lokap berpusat IPD Shah Alam pada April 2018. Dalam prosiding inkues terhadap kematiannya, dua orang doktor menyatakan mendiang tidak akan mati dalam tahanan sekiranya beliau segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Jestus Kevin– meninggal dunia di dalam lokap di Bentong minggu lalu. Mendiang meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital, pada waktu tengah malam, untuk mendapatkan rawatan.

Ketiga, 18 peratus daripada mereka yang mati ddalam lokap adalah warga asing. Malangnya dalam masyarakat kita, pekerja warga asing dianggap sebagai masyarakat kelas kedua. Oleh itu, mereka sering dilayan secara tidak adil. Ramai juga yang beranggapan bahawa ketidak-adilan terhadap mereka adalah takdir. Kerajaan kita pula telah mengabaikan seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah, dan telah gagal untuk menjalankan inkues terhadap kematian mereka.

Keempat, setiap tahanan yang seterusnya akan dihadapkan ke mahkamah semestinya berhak dan memerlukan perwakilan peguam –lebih-lebih lagi setelah kita merujuk kepada fakta dan butiran kes seperti yang dinyatakan di atas. Namun, peguam perlu hadir berjumpa dengan tahanan-tahanan untuk persediaan kes. Peguam juga perlu menghadiri prosiding di Mahkamah. Ini adalah amat tidak wajar kerana ia menjadikan PKP sebagai sia-sia. Kami amat hairan kerana Majlis Peguam gagal membangkitkan isu tersebut, yang mana akan datang, para peguam pula mungkin bakal menjadi kluster COVID-19!

Kami merangkumkan kesemuanya di sini dengan satu penilaian: dilihat bahawa Ketua Polis Negara (KPN) dan MKN menganggap lokap boleh digunakan untuk menghukum berbanding untuk menahan. Ini adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang. Hanya badan kehakiman yang boleh menghukum. Walaupun dalam situasi pandemik ini, KPN dan MKN mesti bertindak berlandaskan undang-undang; bukan hanya mengharapkan orang awam sahaja untuk menuruti undang-undang.

Kami menyeru agar KPN dan MKN, serta Peguam Negara – yang sehingga kini masih belum bersuara – tidak membuat sebarang keputusan yang boleh membuka ruang kepada kekacauan. Kami menggesa mereka untuk kembali menguatkuasakan kompaun terhadap pesalah-pesalah PKP dan bicarakan mereka di mahkamah kemudian setelah tamat PKP, jika perlu. Kami berharap agar ketiga-tiga badan ini bertindak hanya berpandukan undang-undang, bukan mengatasi undang-undang.

EDICT 15 April 2020

30 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).