Search
  • EDICT Malaysia

Gari Untuk Dr Ong, Mikrofon Untuk Zuraida, Penjara Untuk Remaja 18 Tahun.


EDICT ingin menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakseimbangan dalam layanan yang diberikan oleh pihak berkuasa terhadap Zuraida Kamarudin seorang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dr Ong Hean Teik, seorang pakar kardiologi di Pulau Pinang. Satu rakaman video yang tersebar menunjukkan Zuraida menggunakan sistem pembesar suara untuk bercakap di hadapan khalayak ramai secara terbuka disebuah pasar di Petaling Jaya. Video itu juga menunjukkan beliau didalam sut hazmatnya sedang menyembur cecair penyahjangkit di jalan raya. Beliau mendakwa bahawa menyembur cecair penyahjangkit dapat mengurangkan risiko terkena jangkitan Covid-19. Kami beranggapan kementeriannya menanggung kos bagi operasi tersebut, walaupun kemungkinan beliau akan mendapatkan “penderma” untuk membayar kos tersebut. Pengamal perubatan dan golongan profesional telahpun mengkritik tindakannya itu berdasarkan 2 sebab utama: Pertama, penyemburan disinfektan seperti itu tidak berkesan. Kedua, sut hazmat itu sukar untuk didapati sekarang dan sangat-sangat diperlukan oleh para pekerja barisan hadapan di hospital. EDICT ingin menekankan sebab ketiga: Zuraida, seorang yang bukan pakar dalam hal ini, bercakap dihadapan himpunan orang yang ramai, yang mana video dan portal berita telah melaporkan bahawa himpunan tersebut antaranya terdiri daripada orang awam. Dengan penyertaan yang ramai sedemikian, beliau telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ini. Lebih teruk, beliau langsung tidak menyatakan rasa kesal akibat tindakannya itu. Mungkin beliau terinspirasi dengan laporan-laporan berita mengenai kerja-kerja penyemburan cecair penyahjangkit di negara-negara lain. Zuraida mempertahankan tindakannya itu sebagai satu tindakan yang baik. Dalam kenyataan kami semalam, kami telah menggesa kabinet, diketuai oleh Perdana Menteri, untuk mengecam tindakan Zuraida. Hari ini, kami ingin membuat satu perbandingan antara tindakan Zuraida tersebut dan kes seorang pakar kardiologi, Dr. Ong Hean Teik, yang mana beliau telah didakwa di mahkamah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. Dr. Ong telah didakwa kerana tidak duduk di rumah. Dr Ong malah didakwa dibawah Kanun Prosedur Jenayah kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas walaupun video menunjukkan beliau tidak langsung mengeluarkan kata-kata kesat atau bertindak ganas. Selepas kelakuannya itu tersebar, beliau tidak ditahan. Beliau pulang ke rumah. Namun, 11 hari selepas itu, pada 30 Mac, beliau didakwa. Satu laporan berita menunjukkan beliau telah digari, melangkah keluar dari sebuah kereta polis di luar mahkamah. Apa yang lebih teruk ialah, denda maksima bagi kes melanggar Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah RM 1,000 dan denda maksima untuk kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ialah RM 10,000. Jumlah kesemuanya adalah RM11,000. Majistret pula menetapkan RM 13,000 sebagai ikat jamin, lebih tinggi daripada denda maksima, itupun sekiranya Dr Ong didapati bersalah! Semalam, satu laporan berita dengan tajuk yang jelas dengan sendirinya; “Tak Mampu Bayar Ikat Jamin RM 800, Remaja Kini Ditahan di Penjara Ketika Keluar Mahu Beli Maggi.” Seorang remaja dikenali sebagai Man, berusia 18 tahun, pelajar tingkatan enam di Kelantan. Beliau kini ditahan di penjara Marang bersama 16 yang lain kerana dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. Kesimpulannya, Pada hari kedua PKP, seorang pakar perubatan tidak bersetuju dengan dua orang pegawai penguatkuasa tentang penafsiran PKP. 11 hari kemudian, beliau digari, didakwa di mahkamah dan terpaksa membayar wang ikat jamin sebanyak RM 13,000. Pada hari ke-12 PKP, seorang menteri melancarkan “operasi disinfeksi” dikutuk oleh para pengamal perubatan sebagai satu pembaziran dan dibuat dalam satu himpunan awam. Beliau mempertahankan tindakannya! Beliau masih bebas. Pada hari ke-15 PKP, seorang pelajar Tingkatan Enam berusia 18 tahun, dipenjara hanya kerana beliau kelaparan dan keluar rumah untuk membeli Maggi pada waktu malam. EDICT menggesa kerajaan dan institusi awam seperti pihak berkuasa tempatan, polis dan badan kehakiman untuk mengambil serius mengenai layanan tidak adil dan saksama ke atas 3 kumpulan berbeza ini. Ambil pengajaran daripada kes-kes ini. Hentikan perkara sebegini. Hormati prinsip perundangan. Tunjukkan rasa belas kasihan. Zuraida mesti dikecam oleh kabinet. Sepertimana tindakan yang diambil terhadap Dr. Ong, pihak berkuasa wajib melaporkan, mendakwa dan menuduh Zuraida di mahkamah. Hanya dengan tindakan sedemikian akan dapat mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKP tanpa gentar atau pilih kasih. Individu seperti Man hendaklah diberi peluang untuk dilepaskan atas dasar kemanusiaan. Keadilan wajar seiring dengan belas kasihan. Dr. Ong akan melalui hari-hari kemudian di mahkamah.

18 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).