Search
  • EDICT Malaysia

Hari Polis, Covid-19 dan Pemuda 21 Tahun dengan 20 Rekod Jenayah.

Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (EDICT) berasa kecewa kerana polis dan masyarakat tidak dapat menyaksikan sambutan Hari Polis semalam pada 25 Mac 2020. Meraikan sambutan Hari Polis setiap tahun adalah perkara yang baik.


Sambutan ini merupakan pengiktirafan kita ke atas anggota polis, hari untuk kita mengangkat martabat para anggota yang berdepan dengan bahaya demi menjalankan tugas. Hari dimana kita memperingati pengorbanan yang mereka lakukan untuk kebaikan semua.

EDICT sememangnya mengiktiraf semangat dedikasi anggota polis dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 ini. Anggota-anggota polis berada di lapangan mengadakan sekatan jalanraya, melakukan tangkapan, meletakkan diri mereka di dalam risiko agar keselamatan kita terjaga.

Walau bagaimanapun, sempena sambutan Hari Polis ini, kita harus tidak terlepas pandang akan tindakan sebilangan anggota yang mencemarkan reputasi pasukan polis. Contohnya, berita yang dilaporkan pada 24 Mac, menjelang Hari Polis.

FMT telah melaporkan seorang lelaki ditahan kerana merempuh sekatan jalanraya polis, seperti yang kami ringkaskan di dalam perenggan berikut-

Pada jam 2 pagi, sebuah kereta Perodua Alza merempuh sekatan jalanraya di Batu Caves, kemudian merempuh palang tol di sebuah pondok tol Gombak dan memecut menuju Bentong sehingga terbabas kira-kira 23 KM kemudian. 3 suspek melarikan diri. Pemandu ditahan pada jam 5 petang di Kuala Lumpur. Tahanan berusia 21 tahun itu mempunyai “20 kes jenayah lampau.”

Kami bersyukur kerana tiada anggota polis yang tercedera semasa apa yang dikatakan kejar-mengejar antara pihak polis dan pemandu cuai berkenaan. Kami juga difahamkan tiada tembakan dilepaskan. Begitu banyak perkara yang mengejutkan kami.

Kami terkejut kerana tidak ada seorang pun suspek yang ditahan dilokasi kejadian kemalangan tersebut. Laporan itu juga tidak menyebut bagaimana polis boleh mengenalpasti individu yang ditahan adalah pemandu kereta berkenaan. Kami juga terkejut bilamana laporan berkenaan tidak menyatakan berapa lama individu tersebut direman.

Kami terkejut apabila pihak polis memaklumkan kepada media bahawa tahanan berusia 21 tahun itu mempunyai 20 sejarah jenayah lampau berkaitan dadah dan aktiviti jenayah. Ada 3 perkara yang mengejutkan kami iaitu:

Bagaimana individu tersebut yang baru berusia 20 tahun, telah mempunyai 20 sabitan jenayah dalam tempoh 3 tahun semenjak beliau mencapai umur dewasa.

Kami terkejut mengapa seseorang yang mempunyai sabitan jenayah yang amat banyak tidak berada di dalam penjara dan juga menimbulkan persoalan mengapa maklumat mengenai sabitan jenayah lampau individu tersebut didedahkan.

Kami terkejut kerana mendedahkan maklumat sedemikian menunjukkan bahawa pihak polis kurang faham dengan proses undang-undang jenayah. Kesalahan lampau dianggap “sabitan yang telah dilupuskan.” Malahan, dalam pendengaran kes di mahkamah, kesalahan lampau tidak dikemukakan melainkan dengan izin mahkamah.

Hakim-hakim kebiasaannya merujuk rekod kesalahan lampau untuk menjatuhkan hukuman, yang mana hanya berlaku selepas mahkamah mendapati seseorang itu bersalah.

Lebih mengejutkan, pendedahan itu dilakukan oleh seorang pegawai tinggi polis iaitu Ketua Polis Gombak, ACP Arifai Tarawe.

Kami meminta agar ACP Arifai mengelakkan dari membuat dakwaan yang sedemikian di masa akan datang.

Kami juga meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador untuk menjelaskan kepada para anggotanya apakah maklumat yang boleh didedahkan kepada orang awam. Beliau juga mestilah membuat semakan sama ada terdapat maklumat tidak betul telah disebarkan kepada media dan sekiranya berlaku, beliau perlu meneliti apakah tujuan di sebalik pendedahan meklumat sedemikian.


EDICT 26 March 2020

28 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).