Search
  • EDICT Malaysia

Jangkitan COVID-19 di Pusat Tahanan Imigresen


EDICT amat memandang serius terhadap keputusan ujian saringan COVID-19 ke atas 645 warga asing yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Menurut laporan, seramai 35 orang tahanan telah disahkan positif COVID-19 manakala 210 orang tahanan masih menunggu keputusan dan 400 orang lagi disahkan negatif.

EDICT ingin mengingatkan kerajaan bahawa kita adalah sebuah negara yang mendaulatkan undang-undang dan para tahanan tersebut, walaupun mereka warga asing, mereka mesti dilayan dengan bermaruah dan pihak kerajaan mestilah bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

EDICT difahamkan bahawa Jabatan Penjara – yang mempunyai kakitangan dan kemudahan yang dikatakan lebih baik – telah memberi isyarat pada 5 April dan meminta agar para pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dihantar ke 39 penjara di bawah seliaannya.

EDICT maklum mengenai tindakan kerajaan yang amat giat mencari dan menangkap warga asing yang disifatkan “tanpa dokumen”.

EDICT telah berulang kali mengingatkan bahawa memenjarakan orang ramai semasa PKP bukan langkah yang produktif kerana ia tidak mematuhi penjarakan sosial yang merupakan perkara yang penting dalam mengawal penyebaran COVID-19.

EDICT menyedari bahawa keupayaan untuk berlakunya penyebaran COVID-19 oleh orang ramai yang tinggal bersama dan berdekatan antara satu sama lain perlu ditangani dengan baik dan berhati-hati. EDICT juga percaya bahawa sempadan negara mestilah dihormati dan penguatkuasaan undang-undang imigresen yang diiktiraf oleh Parlimen hendaklah dilaksanakan.

EDICT walau bagaimanapun percaya bahawa “penyelesaian” dengan cara menangkap dan menempatkan mereka di dalam ruang yang lebih padat adalah tidak wajar dan tidak menunjukkan sikap penyayang rakyat Malaysia.

EDICT menggesa kerajaan untuk mengeluarkan satu tatacara operasi standard (SOP), melengkapkan keperluan dan infrastruktur, memberikan latihan kepada pegawai penguatkuasa dan uji keberkesanan SOP tersebut, sebelum menguatkuasakan undang-undang.

EDICT menggesa kerajaan untuk menghentikan penahanan warga asing tanpa dokumen ke dalam pusat tahanan yang telah sedia padat.

EDICT menggesa kerajaan untuk memaklumkan kepada masyarakat apakah tindakan yang telah kerajaan ambil untuk mengekang penyebaran COVID-19 di dalam pusat-pusat tahanan serta melaksanakan kewajipan untuk menjaga tahanan yang telah disahkan positif.

EDICT amat mengambil berat mengenai kesejahteraan fizikal dan emosi para pegawai penguatkuasa dan semua pihak yang bertugas di dalam pusat tahanan, termasuk warden, penyedia perkhidmatan dan juga kakitangan perubatan. Tanpa SOP yang jelas, menahan warga asing tanpa dokumen secara beramai-ramai akan mendedahkan kakitangan awam kepada ancaman bahaya yang juga boleh membawa kepada kematian.

EDICT juga menggesa kerajaan untuk melakukan soal selidik ke atas tahanan-tahanan tersebut bagi mengenalpasti punca mereka berada di Malaysia secara tidak sah. Adalah tidak mustahil bahawa terdapat penglibatan pegawai kerajaan dalam memberi ruang bagi kemasukan mereka secara haram ke Malaysia.

Kehadiran sejumlah besar warga asing tanpa dokumen di Malaysia perlu dikendalikan dengan cermat. Isu ini mesti dikendalikan dengan peri kemanusiaan, mengikut undang-undang, tanpa mendedahkan kakitangan awam yang sudahpun dibebani dengan tanggungjawab terhadap risiko yang boleh dielakkan. Punca utama kehadiran golongan warga asing tanpa dokumen juga perlu dikenalpasti.

EDICT 23 Mei 2020

24 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).