Search
  • EDICT Malaysia

Jawapan EDICT kepada Kenyataan Media Yang Berbahagia Peguam Negara

Kenyataan ini adalah respon kami terhadap dakwaan-dakwaan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun di dalam kenyataannya yang bertarikh 27 April 2020 yang disiarkan melalui laman web Pejabat Peguam Negara.


Ketika menulis kenyataan ini, tiga laporan berita telah dikirim ke peti masuk email kami iaitu, pertama, “Timbalan Menteri Kesihatan, Exco Kerajaan Negeri Perak, didenda RM1,000 (kerana melanggar PKP)” (lihat pautan); kedua, “Ibu tunggal dipenjara 30 hari kerana langgar PKP mahu hukuman disemak” (lihat pautan); dan ketiga, “Tiada Kes Terhadap MB Terengganu Isu Dakwaan Langgar PKP, Kata Polis” (lihat pautan) – laporan ini menambah bahawa pendakwaraya memutuskan “tiada tindakan lanjut”.

Kami juga menulis berdasarkan satu lagi laporan berita bertajuk “Lebih 20,000 orang ditahan kerana melanggar PKP sejak 18 Mac.” (lihat pautan). Laporan itu menyebut: pada 25 April sahaja, seramai 505 orang telah direman dan 72 orang dilepaskan dengan jaminan polis.

Adakah laporan-laporan tersebut menunjukkan bahawa konsep kesaksamaan sepertimana yang terkandung dalam artikel 8, Perlembagaan Persekutuan digunapakai dan ditegakkan?

Kini kami ingin merujuk kepada kenyataan Peguam Negara.

Pertama, kami dapati bahawa Peguam Negara telah memberikan maklum balas terhadap kenyataan kami yang bertarikh 9 April, bukannya surat terbuka kami yang bertarikh 4 April, yang mana telah kami rujuk dalam kenyataan bertarikh 9 April tersebut. Dalam surat terbuka kami, kami telah meminta Peguam Negara untuk menjawab enam isu yang menjadi kebimbangan kami secara spesifik. Walau bagaimanapun, kenyataan beliau langsung tidak menyentuh enam perkara yang kami bangkitkan tersebut.

Kedua, kami dapati bahawa Peguam Negara menyatakan kami mendakwa beliau “telah gagal untuk mengemukakan sebarang garis panduan kepada para DPP bagi memastikan keseragaman dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).” Kami menafikan bahawa kami telah membuat dakwaan tersebut.

Apa yang kami tulis adalah: “Ramai yang bertanya [empat hari selepas surat terbuka itu disiarkan] sama ada Peguam Negara telah mengeluarkan sebarang garis panduan atau sebaliknya. Kami masih tidak dihubungi oleh pihak Peguam Negara. Kami tidak menerima sebarang maklumbalas sama ada berlaku perubahan dalam proses penguatkuasaan tersebut. Justeru, kami berpendapat, pihak Peguam Negara masih belum mengambil apa-apa tindakan berkenaan kebimbangan yang telah kami utarakan tersebut.”

Ketiga, Peguam Negara merujuk kepada mekanisme dalaman. Namun, beliau tidak menyentuh langsung mengenai reaksi orang awam tentang peranan beliau dalam menangani ketidakpuasan hati masyarakat terhadap pelbagai aspek dalam pelaksanaan PKP - tidak seperti yang telah dilakukan oleh Ketua Hakim Negara, kedua-dua Hakim Besar dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

Keempat, Peguam Negara berkata “sesetengah perkara seperti tempoh reman dan hukuman bukanlah di bawah bidang kuasa AG, oleh itu, ia adalah di luar kawalan AG.”

Dengan hormatnya kami ingin menjelaskan, kami tidak pernah menyatakan bahawa timbalan pendakwa raya membuat permohonan reman dalam kes-kes berkaitan PKP. Seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, adalah menjadi tugas polis untuk membuat permohonan reman. Apa yang kami maksudkan adalah kes-kes tersebut tidak perlu direman.

Mahkamah Persekutuan bersependapat dengan kami, yang mana dalam laman webnya menyebut “tujuan reman adalah untuk memberi lebih masa untuk pihak polis melengkapkan siasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti yang cukup untuk mendakwa suspek atas satu-satu kesalahan” (lihat pautan). Bukankah ini jelas bahawa reman tidak diperlukan bagi kesalahan yang boleh dikompaun?

Oleh sebab kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk pendakwaan – setelah 40 hari tempoh PKP ini – adalah wajar untuk kami menjangkakan bahawa Peguam Negara akan mengeluarkan arahan atau garis panduan kepada pihak polis untuk tidak memohon perintah reman dalam kes-kes tersebut. Ini dapat menjamin penjarakan sosial dipatuhi sebagaimana yang dituntut oleh pihak yang berkuasa, yang mana ia adalah langkah yang penting dalam mengawal penularan wabak. Juga umum diketahui bahawa meskipun dalam keadaan biasa sebelum pandemik ini, tahanan tidak tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan sebelum dimasukkan ke dalam lokap.

Kami juga ingin tahu mengapa terdapat sebahagian kes yang direman dan sebahagian lagi tidak? Contohnya, mengapa tiada reman ke atas Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Kerajaan Negeri Perak dalam kes yang kami rujuk sebelum ini?

Kelima, Peguam Negara langsung tidak menyentuh mengenai kes seorang pembantu kedai yang dituduh di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), seperti yang telah kami rujuk dalam kenyataan kami tersebut.

Apakah keperluan untuk mendakwa beliau dengan segera dalam tempoh PKP? Persoalan ini adalah penting di mana seperti yang telah kami nyatakan, menurut jawapan dalam sidang Parlimen, dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober 2019, sebanyak 153 kes telah disiasat dibawah seksyen 233 AKM, tetapi belum ada satu pun yang didakwa.

Adakah “garis panduan” yang Peguam Negara rujuk dalam kenyataannya itu turut melibatkan pendakwaan bagi kes-kes selain PKP? Beliau tidak menyatakannya.

Keenam, dalam kenyataan kami, kami juga merujuk kepada satu komen oleh seorang timbalan pendakwa raya di media sosial tentang tindakan polis merotan mereka yang disyaki melanggar PKP adalah wajar menurut undang-undang. Adakah “garis panduan” yang dimaksudkan oleh Peguam Negara dalam kenyataannya menjawab isu mengenai timbalan pendakwa raya membuat komen sedemikian di media sosial? Hal ini juga tidak dijawab.

Ketujuh, kami maklum bahawa Peguam Negara menyatakan,”… para DPP serta PDRM dan Mahkamah sentiasa bekerja keras dalam keadaan yang baru ini di samping mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan.” Kami ingin menambah, mereka semua – dan lain-lain pihak termasuk para peguambela – tidak sepatutnya didedahkan kepada risiko jangkitan atas sebab kekurangan dalam “garis panduan” tersebut, yang mana akan mendesak kesemua pihak untuk hadir ke mahkamah dan hukuman penjara, sedangkan terdapat pilihan yang lain.

Kelapan, kami ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa, dalam surat terbuka kami, kami menyedari bahawa kita sedang berada di dalam satu keadaan yang luar dari kebiasaan dan mencabar. Kami telah menawarkan kerjasama. Kami juga menyokong pendakwaan untuk kes-kes yang sangat jelas melanggar PKP dan juga kes berkaitan penghinaan ke atas anggota penguatkuasa.

Kesembilan, dalam kenyataan kami (9 April), kami dengan jelas menyatakan bahawa kami bimbang sekiranya masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan negara jika isu-isu yang telah kami utarakan tersebut tidak ditangani. Kritikan kami adalah sentiasa membina.

Kesepuluh, kami menekankan bahawa kami amat mengambil berat akan tanggungjawab kami sebagai rakyat untuk bekerjasama dengan penjawat awam. Kami tidak suka berprasangka dan mencela. Kami menafikan bahawa kenyataan kami adalah berlandaskan andaian, celaan atau tidak disokong oleh fakta. Kami menegaskan bahawa segala kenyataan yang kami keluarkan adalah berlandaskan fakta yang jelas. Kami sentiasa bersedia untuk memberikan segala bukti dan sumber rujukan kami sekiranya diminta.

Akhir sekali, kami ingin mengingatkan, ribuan orang sedang ditahan dan direman akibat kesalahan yang boleh dikompaun tersebut. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kuasa yang amat besar kepada Peguam Negara yang mana dengan itu, beliau boleh memainkan peranannya bagi meredakan keresahan masyarakat dalam situasi pandemik ini. Dengan hormatnya, kami meminta Peguam Negara agar berbuat demikian dan dilihat melakukannya.


(Gambar: MB Terengganu dan Bekas MB Terengganu serta para pengikutnya melanggar PKP)


EDICT

29 April 2020

23 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).