Search
  • EDICT Malaysia

Jenayah Tanpa Mangsa PKP – Kes 24 Orang Seminarian Katolik


EDICT menyatakan kebimbangan terhadap pendakwaan ke atas 24 orang pelajar seminari (seminarian) yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan di sebuah kolej di Pulau Pinang. Berdasarkan laporan-laporan berita, kami rangkumkan kesemua fakta kes berkenaan. Pada hari Selasa, 31 Mac, seramai 24 orang pelajar sedang bermain bolasepak bersama, dalam kawasan dan tanah yang berpagar Kolej Katolik yang mana merupakan tempat mereka tinggal sepanjang waktu ini. Seorang penduduk di pangsapuri berdekatan ternampak mereka sedang bermain. Dia kemudiannya memaklumkan kepada polis bahawa seminarian tersebut telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang untuk berkumpul bagi tujuan bersukan. Polis kemudiannya datang ke tempat kejadian dan menahan para seminarian tersebut. Pada hari Khamis 2 April, pihak polis telah membawa mereka ke mahkamah. Terdapat satu gambar yang kami lihat memaparkan tiga orang daripada mereka digari, dirantai antara satu sama lain. Kami tidak tahu apa yang berlaku di balai polis pada hari Selasa tersebut. Kami juga tidak tahu sekiranya mereka ditahan semalaman, juga tidak tahu sama ada mereka dijamin supaya tidak ditahan. Kami ingin fokuskan kepada 3 perkara yang kami tahu. Pertama, mereka telah didakwa. Kedua, mereka telah mengaku bersalah. Ketiga, mereka diberikan hukuman yang luar dari kebiasaan. Pertama, kesemua 24 orang itu telah didakwa. Satu keputusan untuk mendakwa di bawah undang-undang mestilah berdasarkan tujuan undang-undang tersebut dibuat. Tujuan peraturan itu dibuat yang mana kesemua 24 orang ini didakwa adalah untuk Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Apabila sekumpulan orang yang tinggal bersama di dalam satu premis bermain bersama, adakah mereka akan menyebarkan penyakit? Jika salah seorang ahli keluarga saya bermain ping-pong bersama saya di halaman rumah, adakah kami menyebarkan penyakit sesama kami? Jawapan kepada dua soalan di atas tentunya TIDAK. Jika tidak, sudah tentu setiap dan kesemua orang, termasuk keluarga, perlu dipisahkan dan tinggal dalam pengasingan – yang mana ini adalah suatu ‘hukuman’ yang paling berat. 24 orang seminarian tersebut juga sepatutnya tidak perlu didakwa. Sudah memadai mereka dinasihati untuk tidak meneruskan daripada melakukan aktiviti riadah secara terbuka; ataupun hanya dikenakan kompaun/denda – sebagaimana kesalahan-kesalahan yang ringan seumpama kesalahan trafik. Jika mereka perlu didakwa sekalipun, pihak polis dan timbalan pendakwa raya boleh melakukan pendakwaan selepas situasi pandemik wabak ini tamat. Mereka boleh diberikan jaminan polis sementara siasatan dijalankan sehingga tamat tempoh PKP sebelum dituduh di mahkamah. Mengenakan kompaun dapat mengurangkan kesesakan di balai polis, lokap dan mahkamah. Pengumpulan orang yang ramai adalah punca bahaya dalam situasi wabak pandemik ini, yang mana atas sebab itulah PKP dikuatkuasakan bagi menghalang orang ramai berkumpul dengan memastikan penjarakkan sosial dipatuhi. Kedua, kesemua 24 orang seminarian tersebut telah mengaku bersalah. Harapan kami mereka tidak mengaku bersalah, sepertimana kes Dr. Ong Hean Teik yang telah kami tulis dalam kenyataan kami semalam. Adalah lebih baik sekiranya mereka dapat berdiri melawan penyalahgunaan undang-undang ini. Walaubagaimanapun, kami menghormati hak setiap daripada mereka untuk mengaku bersalah. Ketiga, kesemua 24 mereka diberikan hukuman yang “menarik”. Sepertimana yang kami nyatakan di atas, kami menyangka kesemua 24 mereka tidak patut didakwa di mahkamah. Namun mereka tetap didakwa dan mereka telahpun mengaku bersalah. Oleh itu, majistret terpaksa memberikan hukuman. Kami beranggapan, majistret patut mengenakan denda yang minima kepada mereka, sebagai contoh RM 50 setiap orang. “Jenayah” yang mereka lakukan itu tidak memangsakan sesiapa. Kami tidak tahu apa pilihan yang diberikan oleh pihak pembelaan di mahkamah. Apa yang kami tahu ialah mereka diberikan hukuman yang “menarik”. Majistret telah menghukum mereka untuk melakukan 3 jam khidmat komuniti pada setiap hari minggu selama 3 bulan dibawah penyeliaan pegawai parol sepertimana yang termaktub dibawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954. Pada hemat kami, hukuman melebihi 200 jam berkerja itu adalah berlebihan. Tambahan pula, ini akan meletakkan kesemua 24 seminarian itu di dalam persekitaran yang terdedah kepada penyakit, bukan seperti di dalam kawasan kolej mereka. Kes ini telah pun ditutup, tetapi pengajaran daripadanya hendaklah diambil iktibar oleh kerajaan, terutamanya pegawai-pegawai penguatkuasa, polis dan mahkamah. Tujuan undang-undang itu diwujudkan hendaklah sentiasa diambil berat dalam memutuskan sesuatu keputusan. Pihak polis tidak perlu menggari dan merantai mereka yang memberikan kerjasama dan belum didapati bersalah atas perlakuan jenayah. Majistret hendaklah sentiasa memberi ruang untuk mengenakan hukuman yang paling minima. EDICT sedia maklum bahawa kita kini berada dalam situasi yang sukar dan luar biasa. Pegawai-pegawai penguatkuasa dikerah untuk bekerja lebih. Mereka patut diberikan pilihan selain daripada menangkap dan menahan pesalah-pesalah PKP ini – seperti mengenakan kesalahan berkompaun. EDICT juga ingin menekankan bahawa kami sentiasa menyokong tindakan tegas terhadap tindakan individu yang agresif seperti kes seorang wanita yang didakwa menendang, menengking dan meludah anggota polis yang berlaku di Petaling Jaya baru-baru ini. Anggota penguatkuasa mestilah dihormati dan dipertahankan selagi mana mereka tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang dan hak asasi manusia

6 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).