Search
  • EDICT Malaysia

JIPS PDRM perlu dedah senarai nama anggota yang dihukum



 

1.   EDICT menyambut baik usaha dan tindakan PDRM dalam mengadili para anggota yang telah berlaku cuai dan alpa ketika menjalankan tugas sehingga menyebabkan seorang gadis bawah umur dirogol di dalam lokap polis di Miri, Sarawak.

 

2.   Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan PDRM pada 15 Februari 2021, PDRM menyatakan seramai 11 orang anggota telah diambil tindakan oleh JIPS dengan sebahagiannya digantung kerja dan sebahagian lagi dipecat.

 

3.   Dalam kenyataan itu juga menyatakan 2 orang anggota polis telah didakwa di mahkamah dibawah Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak kerana menyebabkan gadis itu dirogol semasa berada dibawah jagaan mereka di lokap polis.

 

4.   Pada masa yang sama kenyataan PDRM seperti yang dilaporkan media tidak mendedahkan nama-nama anggota yang telah diambil tindakan di dalam kes ini.

 

5.   EDICT dengan ini meminta PDRM agar mendedahkan nama-nama anggota yang diambil tindakan ke atas mereka. EDICT berpendapat bahawa sekiranya PDRM mendedahkan maklumat tersebut maka keyakinan serta kepercayaan masyarakat ke atas institusi PDRM akan bertambah baik.  

 

6. EDICT meminta PDRM agar tidak teragak-agak untuk mendedahkan senarai nama anggota-anggota yang telah dihukum dan diambil tindakan disiplin* supaya menjadi pengajaran kepada semua anggota PDRM di masa hadapan.

 

7.   Sebagai contoh semua nama serta maklumat berkenaan peguam yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Tatatertib Peguambela & Peguamcara akan disiarkan di dalam laman web Majlis Peguam bagi meyakinkan masyarakat umum bahawa disiplin serta tatatertib para peguam dipandang serius. Kini masanya untuk PDRM untuk turut membuktikan bahawa integriti polis adalah perkara utama dalam memastikan kegemilangan PDRM dapat dikembalikan dengan menyiarkan semua nama anggota yang telah diambil tindakan di laman web PDRM. Selaku penjawat awam, semua maklumat berkenaan apa-apa tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana anggota PDRM harus disiarkan sebagai maklumat umum.

 

8.   EDICT percaya bahawa semua maklumat berkenaan kes-kes salahlaku anggota PDRM termasuk nama-nama anggota yang telah diambil tindakan wajib disiarkan dilaman web PDRM segera. Kami percaya hanya dengan berbuat demikian keyakinan masyarakat umum terhadap PDRM sebagai sebuah institusi yang professional dan berwibawa akan berdiri teguh setiap masa.


EDICT

16 Feb 2021

PDRM sebagai sebuah institusi yang professional dan berwibawa akan berdiri teguh setiap masa.   

99 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).