Search
  • EDICT Malaysia

Kartel Jenayah Dalam Polis: Adakah KPN Sudah Buat Laporan Polis?



1. EDICT sekali lagi ingin mengajak masyarakat untuk memberikan perhatian terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara pada 1 Januari lalu.


2. Isu ini dilihat seolah olah tidak mendapat sokongan pegawai atasan dalam PDRM sendiri dan juga kerajaan. Mengapakah mereka semua berdiam diri tatkala KPN memerlukan sokongan?


3. ketua Polis Negara dengan jelas menyatakan beliau sedang berhadapan dengan satu isu yang serius iaitu Kartel Polis dalam PDRM. Kartel ini bersekongkol dengan penjenayah dalam memastikan aktiviti jenayah dapat berjalan dengan lancar.


4. EDICT ingin menasihatkan Ketua Polis Negara agar membuat satu laporan polis memandangkan terdapat unsur jenayah dalam hal ini. Mengikut Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah mana-mana orang yang mengetahui atau mempunyai maklumat berkenaan apa-apa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dinyatakan di dalam seksyen tersebut mempunyai obligasi undang-undang untuk membuat satu aduan polis. Pada masa yang sama Seskyen 20 Akta Polis 1967 turut memandatkan semua tugas-tugas yang perlu dipatuhi oleh semua anggota polis dengan setia.


5. Adalah turut menjadi kebiasaan bagi pegawai-pegawai polis menasihatkan mereka yang mengetahui mengenai terdapatnya apa-apa kejadian jenayah untuk hadir ke balai polis bagi membuat laporan.


6. Di dalam isu “kartel polis”, adakah beliau sudah melaporkan kepada polis untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan-tindakan perlu dalam hal ini? Sekiranya sudah, EDICT ingin menggesa pihak PDRM agar menyiasat dan mengambil tindakan terhadap aduan tersebut. EDICT juga berharap siasatan dapat dijalankan dengan telus, professional dan penuh integriti.


7. Sekiranya belum membuat laporan, EDICT berharap agar Ketua Polis Negara dapat membuat satu laporan polis berkenaan isu “kartel polis” ini dan secara khusus terhadap para pegawai polis yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan-tindakan sewajarnya menurut undang-undang.


8. EDICT ingin mengulangi pendirian kami bahawa, kami sangat menghargai kerja-kerja yang dilakukan oleh anggota polis namun pada masa yang sama, PDRM perlu memastikan para anggota bersikap amanah, berintegriti dan jujur dalam melakukan tugas tugas mereka. Jangan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.


EDICT

13 JANUARI 2020

9 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).