Search
  • EDICT Malaysia

Kematian dalam lokap Balai Polis Kota Bharu: EDICT mahu siasatan inkues diadakan



1. Agensi berita BERNAMA hari ini melaporkan bahawa terdapat satu kes kematian dalam tahanan di Balai Polis Kota Bharu. Tahanan yang berusia 48 tahun itu dikatakan seorang gelandangan dan berbangsa Melayu. Menurut laporan tersebut, pihak hospital mendakwa terdapat pendarahan dalam kepala tahanan yang antara menjadi punca kematian. Selain itu, pihak polis juga mendakwa tahanan tersebut menghidap penyakit sawan.


2. EDICT ingin mempersoalkan mengapakah tahanan di Balai Polis Kota Bharu ini tidak diperiksa tahap kesihatannya sebelum dihantar ke lokap? Bukankah Ketua Polis Negara telah mengarahkan kesemua balai polis agar melakukan pemerikssaan kesihatan terlebih dahulu ke atas tahanan sebelum dihantar ke lokap? Disamping itu, Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lokap 1953 juga menghendaki seseorang tahanan perlu dipastikan sihat sebelum dibenarkan untuk ditahan di dalam lokap.


3. EDICT ingin menegaskan bahawa setiap kematian dalam lokap polis hendaklah disiasat melalui siasata inkues. Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah mewajibkan setiap kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat rawatan sakit jiwa hendaklah disiasat melalui satu siasatan inkues oleh Hakim Koroner melalui Mahkamah Koroner. Pihak polis dinasihatkan agar tidak mendahului Mahkamah Koroner dalam mengumumkan dan menentukan punca dan sebab kematian.


4. EDICT juga ingin menggesa kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan IPCMC yang telah siap didrafkan pada 2005 supaya sebarang perlanggaran tugas dan salahlaku anggota polis dalam kes seperti ini dapat disiasat dengan telus dan adil.


5. EDICT juga ingin memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa ini supaya dapat menghubungi kami supaya pembelaan sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa dan supaya keadilan dapat ditegakkan.



EDICT

26 JUN 2021

92 views0 comments