Search
  • EDICT Malaysia

Kematian dalam tahanan Imigresen membimbangkan, kerajaan perlu segera gubal seksyen 334!



1. EDICT sangat bimbang dengan angka terbaru yang didedahkan kerajaan dalam parlimen semalam mengenai kematian dalam tahanan Imigresen.

2. Mengikut laporan berita yang dilaporkan di Malaysiakini, Menteri Dalam Negeri mendedahkan sebanyak 23 kes kematian telah dilaporkan berlaku dalam tahanan Imigresen sepanjang Januari hingga Jun 2020, bermakna setiap minggu sekurang-kurangnya seorang tahanan telah mati dalam pusat tahanan Imigresen tersebut.

3. Angka ini sangat membimbangkan dan menunjukkan betapa lemahnya sistem pusat tahanan negara kita.

4. Kes kematian dalam pusat tahanan Imigresen tidak termasuk dalam keperluan untuk inkues sebagaimana dalam kes kematian dalam pusat tahanan lain.

5. Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah tidak menghendaki atau menyenaraikan kematian dalam tahanan Imigresen sebagai wajib dilakukan inkues untuk mencari punca dan sebab kematian.

6. EDICT melihat, sudah tiba masanya pihak kerajaan mula menggubal seksyen 334 ini supaya dimasukkan kes kematian tahanan Imigresen sebagai salah satu kategori yang mewajibkan inkues diadakan bagi mengetahui punca dan sebab kematian tahanan.

7. Dengan adanya inkues, dan mengetahui punca serta sebab kematian, akan menjadikan penjaga pusat tahanan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan layanan mereka ke atas tahanan migran.

8. EDICT bersedia untuk membantu dan memberikan kerjasama untuk menjadikan penggubalan seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah ini sebagai satu realiti.

EDICT

7 OGOS 2020

25 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).