Search
  • EDICT Malaysia

Kematian dalam tahanan Penjara Sungai Buloh catat angka membimbangkan!




1. EDICT merujuk laporan berita mengenai kematian dalam tahanan yang berlaku di Penjara Sungai Buloh pada 29 Jun 2021. Mangsa, Mohd Iqmal Abdullah berusia 29 tahun telah ditahan reman di Penjara Sungai Buloh atas arahan mahkamah selepas tidak dibenarkan diikat jamin.


2. Menurut ahli keluarga mangsa, mangsa mengadu sakit selepas dimasukkan ke penjara dan sebelum ditahan, mangsa berada dalam keadaan sihat.


3. EDICT berasa bimbang dengan layanan diberikan ke atas tahanan di Penjara Sungai Buloh. Ini bukan kali pertama isu kesihatan tahanan diabaikan oleh Jabatan Penjara. EDICT pernah menerima aduan mengenai kes seorang tahanan warga Pakistan yang kini sedang dikendalikan oleh peguam daripada EDICT yang mendapat sakit selepas dimasukkan ke dalam penjara. Mangsa tersebut mati ketika berada di dalam tahanan penjara hanya dalam tempoh beberapa bulan.


4. EDICT menggesa agar inkues diadakan bagi kes-kes kematian dalam tahanan seperti yang termaktub dalam Kanun Prosedur Jenayah seksyen 334 yang mengatakan setiap kematian dalam lokap polis, penjara atau pusat rawatan sakit jiwa hendaklah diadakan satu inkues oleh Hakim Koroner.


5. EDICT berharap kerajaan menyegerakan proses mendraf Akta Koroner supaya perjalanan inkues dalam kes-kes kematian dalam tahanan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun seterusnya dapat memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.



6. Pada masa sama, EDICT berharap para hakim dalam memutuskan jaminan atau hukuman ke atas para pesalah tidak sewenang-wenangnya menghantar mereka ke penjara dalam musim pandemik ini. Kepadatan penjara yang sudah melampau buat masa ini adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan penjarakan sosial. Perkara ini akan memberi kesan kepada bukan sahaja tahanan malahan para kakitangan Jabatan Penjara. EDICT menasihatkan agar pihak mahkamah dapat memberikan sedikit kelonggaran dan lebih bertimbangrasa sebelum membuat sebarang keputusan menghantar tahanan ke penjara. Ini berikutan satu laporan berita yang diterbitkan di Free Malaysia Today pada 30 Jun 2021 bahawa Penjara Jelebu terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana terdapat sejumlah besar tahanan yang dijangkiti virus Covid 19.


EDICT

2 JULAI 2021

162 views0 comments