Search
  • EDICT Malaysia

Kematian Dalam Tahanan yang Kedua di Kuala Lumpur.


1) EDICT difahamkan semalam, 25 Jun, kira-kira jam 12.30 tengahari, satu lagi kematian dalam tahanan berlaku di lokap IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

2) Mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia dalam usia 40an.

3) Setakat jam 8 pagi ini, EDICT masih tidak menemui apa-apa kenyataan berkenaan kematian beliau.

4) Ini adalah kali kedua kematian dalam tahanan berlaku di lokap polis daerah Kuala Lumpur pada bulan ini. (Kes yang pertama adalah kematian “Dhan Bahadur” pada 2 Jun di lokap berpusat Jinjang.)

5) Menurut jawapan dalam sidang parlimen, purata kehilangan 16 nyawa telah berlaku setiap tahun dalam lokap polis di Malaysia.

6) Keterangan yang dikemukakan dalam prosiding-prosiding inkues telah menunjukkan bahawa terdapat kegagalan sistemik dalam penyiasatan polis. Ini adalah waktunya untuk Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri Dalam Negeri mengambil langkah yang kukuh untuk menghentikan kematian dalam tahanan.

7) Memandangkan kematian dalam tahanan kerap kali berlaku, EDICT menggesa Yang Berbahagia KPN Tan Sri Hamid Bador dan Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainuddin untuk mengambil langkah yang perlu bagi memastikan siasatan kes kematian dalam tahanan dijalankan secara bebas, profesional dan pantas. Sekurang-kurangnya mereka perlu:

a) Mewujudkan senarai Pengawai Penyiasat Kebangsaan bagi kes-kes kematian dalam tahanan untuk setiap negeri, dan pegawai penyiasat tersebut sekurang-kurangnya berpangkat ASP.

b) Melantik seorang pegawai polis daripada senarai tersebut sebagai pegawai penyiasat bagi mana-mana kes kematian dalam tahanan dalam tempoh dua jam daripada masa kematian dilaporkan. Sistem giliran digunakan untuk memilih pegawai penyiasat bagi mengelakkan unsur berat sebelah – dan semestinya memastikan bahawa tiada konflik kepentingan dalam pemilihan pegawai.

c) Memastikan pegawai penyiasat tersebut melaporkan kepada pihak atasan di dalam negeri yang beliau bertugas, bukan di dalam negeri berlakunya kematian dalam tahanan tersebut.

d) Memastikan pegawai penyiasat segera berada di lokasi kejadian, tidak melebihi tempoh 12 jam daripada masa kematian dilaporkan.

e) Memastikan pegawai penyiasat mengumpul kesemua bukti (gambar, lakaran, diari siasatan polis, rakaman CCTV, kenyataan saksi) dalam tempoh 72 jam daripada masa kematian dilaporkan – ini memerlukan penempatan pegawai yang mencukupi dibawah arahan pegawai penyiasat, gerak kerja yang pantas oleh bahagian forensik polis dan kerjasama yang mantap daripada agensi-agensi berkenaan seperti Jabatan Kimia dan MIMOS.

f) Menyediakan latihan kepada pegawai penyiasat bagi kes kematian dalam tahanan tersebut mengenai inkues sepertimana yang termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah (seksyen 328-341A) dan dapatan koroner dalam kes-kes sebelumnya.

g) Menyertakan di dalam terma rujukan untuk pegawai penyiasat, pengumpulan bahan bukti untuk membantu koroner dalam membuat keputusan berkenaan tindakan dan peninggalan yang salah yang menyebabkan kematian dalam tahanan.

8) Dalam kes kematian di Dang Wangi semalam, kami menggesa Ketua Polis Kuala Lumpur untuk menamakan pegawai penyiasat, struktur laporan dan tarikh sasaran yang diberikan kepada pegawai penyiasat bagi melengkapkan laporan siasatan untuk dihantar kepada koroner.

9) Budaya memperlakukan nyawa manusia seperti objek yang tidak bernilai mesti dihentikan.

8 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).