Search
  • EDICT Malaysia

Kematian Dalam Tahanan Yang Terbaru Berlaku di IPD Klang Selatan


1. EDICT dimaklumkan terdapat satu lagi kes kematian dalam lokap polis. Kali ini berlaku di lokap polis IPD Klang Selatan.


2. Mangsa merupakan seorang pemuda India Muslim berusia 36 tahun bernama Umar Faruq bin Abdullah.


3. EDICT menggesa agar kematian ini disiasat melalui satu siasatan inkues yang dikendalikan oleh Mahkamah Koroner. Seperti yang terkandung dalam seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah, setiap kematian yang berlaku dalam penjara, lokap polis atau hospital sakit jiwa hendaklah disiasat oleh Mahkamah Koroner. Justeru, pihak-pihak lain dinasihatkan agar tidak mendahului mahkamah dalam memberi konklusi kepada punca dan penyebab kematian mangsa.


4. EDICT berharap Ketua Polis Negara dapat bertegas sekali lagi dengan para kakitangannya agar mengambil sikap lebih berhati-hati dalam menjaga dan mengawasi tahanan. Adalah mustahil untuk seseorang tahanan yang baru ditahan kurang daripada 24 jam boleh meninggal dunia didalam lokap polis.


5. EDICT juga menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan IPCMC agar setiap keputusan siasatan di Mahkamah Koroner yang mendapati berlakunya kecuaian dan pengabaian tugas oleh anggota polis dapat disiasat dan didakwa di mahkamah terbuka. IPCMC yang dimaksudkan EDICT adalah seperti yang telah disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja pada tahun 2005 dan bukannya seperti IPCC yang dibuat oleh kerajaan hari ni dan IPCMC yang dibuat di zaman kerajaan Pakatan Harapan.


6. EDICT juga bersedia untuk membantu pihak keluarga mangsa sekiranya mereka memerlukan bantuan guaman. Kami di EDICT boleh dihubungi melalui hotline 016-6215801.


EDICT

3 Jun 2021


228 views0 comments