Search
  • EDICT Malaysia

Kematian Jestus Kevin di Lokap Bentong pada Hari Ke-19 PKP Wabak COVID-19


Dengan rasa dukacita, EDICT telah menerima maklumat mengenai kes pertama kematian dalam tahanan semasa penularan wabak Covid-19 ini.

Semalam, SUARAM mendedahkan terdapat satu kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan oleh ayah mangsa melibatkan seorang pemuda berusia 30 tahun, Jestus Kevin Ganapragasam.

Pihak polis enggan membenarkan ahli keluarga mangsa untuk mengenalpasti mayat mangsa kerana mereka bimbang Jestus mungkin meninggal dunia akibat Covid-19.

Selepas SUARAM dan ADUN kawasan berkenaan bercakap dengan pihak polis, polis kemudiannya telah membenarkan hanya dua orang daripada ahli keluarga untuk mengenalpasti mayat, tetapi hanya setakat melihat muka mangsa sahaja.

Selepas EDICT bercakap dengan pihak keluarga, EDICT telah mengeluarkan satu tweet mengenai kematian Jestus. Susulan daripada itu, Malaysiakini menghububgi OCPD Bentong untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut.

Menurut satu laporan yang disiarkan Malaysiakini, OCPD mengatakan bahawa pihak polis telah menahan Jestus kerana disyaki mencuri.

Laporan itu menambah, menurut OCPD, pada hari Ahad, 5 April, jam 12.50 tengah malam, Jestus mengalami kesukaran bernafas. Ambulan telah dihubungi oleh pihak polis. Setibanya ambulan di situ, Jestus didapati telah meninggal dunia. Mendiang disahkan mati pada jam 1.10 pagi. Polis mengklasifikasikan kematiannya sebagai mati mengejut.

EDICT sangat terkejut dengan kenyataan pihak OCPD yang mengatakan bahawa post-mortem hanya akan dijalankan sekiranya mendiang Jestus disahkan bebas daripada Covid-19.

EDICT ingin mengingatkan pihak polis, patologis, koroner dan Peguam Negara bahawa sebagaimana mayat individu-individu lain yang telah terkena penyakit berjangkit, mayat yang didapati positif Covid-19 juga adalah sama seperti mayat-mayat lain yang telah dijangkiti tersebut. Jangkitan penyakit tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan bedah siasat.

Kesemua patologis yang melakukan bedah siasat bermula dengan anggapan bahawa mayat telah dijangkiti. Bedah siasat untuk mengenalpasti mayat yang dijangkiti Covid-19 telah dilakukan di seluruh dunia. Tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak mahu untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat yang dijangkiti.

EDICT selanjutnya ingin mengingatkan mereka bahawa seksyen 330 Kanun Prosedur Jenayah mewajibkan pihak polis untuk mengaturkan satu bedah siasat untuk dilakukan. Seksyen 331 pula memperuntukkan bahawa bedah siasat mesti dilakukan secepat mungkin.

Memilih untuk tidak melakukan bedah siasat adalah satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

EDICT mengambil berat tentang keadaan orang lain didalam lokap sama ada pihak polis, tahanan atau kakitangan di dalam lokap. Pihak OCPD dilaporkan sebagai berkata tahanan lain yang berkongsi lokap dengan Jestus telah pun diasingkan namun adakah ini memadai?

EDICT menggesa Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan untuk menghantar satu pasukan pakar ke lokap untuk melakukan satu siasatan dengan kadar yang segera dan menyeluruh. Langkah-langkah segera mesti diambil bagi melindungi semua pihak di dalam kawasan lokap dan mereka yang mungkin mempunyai sejarah perhubungan dengan lokap berkenaan.

Pihak polis merupakan barisan hadapan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan. Jika terdapat mana-mana tahanan yang disahkan positif Covid-19, anggota polis dan ahli keluarga mereka akan terdedah kepada risiko yang besar untuk dijangkiti virus tersebut. Sebab itu, adalah sangat penting untuk memastikan suspek bagi kes-kes yang kecil dan ringan tidak ditahan di dalam lokap.

EDICT ingin mengajak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mengimbas kembali kenyataan kami pada 18 Mac yang bertajuk “Tindakan Besar-Besaran Diperlukan Untuk Pusat Tahanan” (lihat pautan). Di sini kami ingin menekankan satu daripada lima perkara utama untuk Yang Berhormat Menteri perlu pastikan:

“Pertama, pastikan kriteria lebih ketat dalam membuktikan mengapa seseorang itu perlu ditahan. Ini akan mengurangkan kepadatan lokap.”

Di sini kami simpulkan dengan tiga persoalan.

Adakah wujud keperluan untuk menahan Jestus di lokap selepas dia ditahan?

Siapa lagi didalam lokap tersebut yang mungkin tidak perlu untuk ditahan di sana?

Mengapa OCPD mencadangkan post mortem tidak perlu dibuat sekiranya mayat Jestus disahkan positifi Covid-19?

Para peguam EDICT akan memberikan bantuan guaman kepada pihak keluarga dalam saat sukar mereka ini. Pada masa sama, EDICT juga akan memberikan perhatian sepenuhnya ke atas kebajikan mereka yang bekerja di lokap.

Kita semua perlu sentiasa peka terhadap setiap aspek yang mungkin kita terlepas pandang semasa musim penularan wabak ini dan bekerja keras bersama-sama untuk menjaga satu sama lain.

19 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).