Search
  • EDICT Malaysia

Kematian terbaru dalam penjara Simpang Renggam: Kerajaan perlu bertindak segera.


1. Media melaporkan wujud satu lagi kematian dalam tahanan kali ini berlaku di Penjara Simpang Renggam, Johor. Kali ini seorang mangsa merupakan pemuda berusia 21 tahun yang menurut ibunya tidak pernah mempunyai rekod masalah kesihatan.

2. EDICT berasa kecewa dengan kekerapan berlakunya kes kematian dalam tahanan yang dilihat seolah-olah tidak diambil peduli oleh kerajaan.

3. EDICT menggesa agar satu siasatan inkues dilakukan segera oleh Mahkamah Koroner bagi mencari punca dan penyebab kematian pemuda ini. Mahkamah koroner adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan oleh undang-undang bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan seperti yang dinyatakan di dalam Kanun Prosedur Jenayah, seksyen 334 serta Arahan Amalan No.2 Tahun 2019.

4. EDICT juga ingin mengingatkan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri agar mengambil langkah pantas untuk menghentikan kematian dalam tahanan.

5. Para anggota pihak berkuasa mesti dilatih dari sekarang untuk mengendalikan para tahanan dengan lebih baik dalam masa jangka panjang. Kebajikan para tahanan sering terabai ketika berada di dalam penjara, pusat tahanan imigresen serta lokap. Justeru kerajaan harus meningkatkan taraf fasiliti dan kondisi penjara serta lokap serta pusat tahanan imigresen agar sesuai untuk menempatkan para tahanan.

6. EDICT berharap ahli keluarga tampil menuntut keadilan bagi kematian ahli keluarga mereka yang tersayang. EDICT sedia membantu dari segi guaman sekiranya diperlukan.

7. Akhir sekali EDICT ingin mengulangi bahawa tiada apa-apa sebab sesiapa perlu mati di dalam tahanan. Semua pihak perlu bekerjasama bagi menghentikan kematian dalam tahanan.


EDICT

28 Mei 2021

89 views0 comments