Search
  • EDICT Malaysia

Maklumbalas ketiga yang tidak memuaskan daripada pihak polis dalam bulan ini.


1.Dalam satu kenyataan pada 22 Julai (lihat pautan), kami telah meminta Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay untuk memberi maklum balas terhadap satu laporan yang telah kami terima pada 17 Julai mengenai kematian seorang pemuda pertengahan umur berbangsa Cina di lokap IPD Segamat.

2. Wartawan Malaysiakini telah dengan segera menghubungi beliau. Beliau telah mengesahkan kematian tersebut. Menurut Malaysiakini (Hariz Mohd, Polis sahkan satu lagi kematian dalam tahanan, 22 Julai 2020, 11.15pm, lihat pautan) Majistret telah dipanggil dan berpuas hati bahawa "tidak ada tanda-tanda salah laku atau kecederaan yang ditemui pada si mati.Sekarang kita sedang menunggu laporan bedah siasat untuk menentukan penyebab kematiannya."

3. Kami maklum bahawa Kanun Prosedur Jenayah menghendaki pihak polis untuk menghubungi Majistret. Oleh sebab kes-kes kematian dalam tahanan yang dahsyat ini, enam tahun yang lalu, pihak kerajaan telah bersetuju bahawa kematian mengejut mestilah dikendalikan oleh ahli badan kehakiman yang lebih senior. Pada tahun 2014, mahkamah koroner mula dikendalikan oleh hakim-hakim Mahkamah Sesyen. Mengapa pihak koroner tidak dipanggil? Bukankah ini masanya untuk Kanun Prosedur Jenayah, Arahan Amalan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipinda untuk menggantikan “majistret” kepada “koroner”? Bukankah ini adalah masanya untuk melantik lebih ramai koroner?

4.Kami gembira kerana Ketua Polis Johor dilihat tidak hanya melepaskan anggota-anggotanya. Kami gembira bilamana beliau menyatakan bahawa laporan bedah siasat mesti dirujuk sebelum mengenal pasti punca kematian. Kami ingin menambah bahawa Kanun Prosedur Jenayah menghendaki laporan bedah siasat disemak bersama keterangan-keterangan yang lain daripada seorang koroner melalui inkues. Ia bukanlah bagi pihak polis untuk memutuskannnya.

5. Kanun Prosedur Jenayah menghendaki koroner untuk menentukan sama ada wujud sebarang perlakuan atau peninggalan oleh pihak yang lain yang menjadi punca kepada kematian. Koroner telah mencatatkan begitu banyak punca kematian dalam tahanan. Ini termasuk ketiadaan pengesahan kesihatan ke atas tahanan, kekurangan akses kepada perubatan, kekurangan nutrisi, kekurangan pengawasan, tindak balas terhadap kecemasan perubatan yang lemah serta lain-lain punca.

6. Laporan Malaysiakini tidak menyatakan alasan mengapa Ketua Polis Johor tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes tersebut. Kami tertanya-tanya adakah kes tersebut akan diketahui umum sekiranya kami tidak mendedahkannnya?

7. Kami ingin mengajukan kepada Ketua Polis Johor persoalan yang sama yang telah kami utarakan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur (Pada 1 Julai , lihat pautan) dan Ketua Polis Selangor (Pada 4 Julai, lihat pautan ):"Selain pihak koroner (sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang), kepada siapakah mesti pihak polis melaporkan kematian tersebut? Apakah maklumat yang mesti pihak polis kemukakan kepada ahli keluarga mangsa dan orang awam? Dan bila?"

8. Seperti yang dapat dilihat daripada tiga kes kematian yang telah kami kemukakan dalam kenyataan-kenyataan kami pada bulan Julai ini, jelas terdapat masalah sistemik dalam melaporkan dan menyiasat kematian dalam tahanan. (Nota: Kami maklum bahawa tiada kenyataan umum oleh Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai kematian dalam lokap Dang Wangi pada 25 Jun yang lalu.)

9. Adakah Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui akan masalah ini dan akan mengambil tindakan segera? Adakah Yang Berhormat Nik Nazmi, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Parlimen akan memanggil Menteri Dalam Negeri dan menuntut suatu pelan tindakan bagi menghentikan kemelut ini?

10. Adakah Ahli Parlimen akan menunjukkan satu komitmen untuk menghentikan perlakuan terhadap nyawa manusia ibarat objek yang tidak bernilai?

EDICT

30 Julai 2020

6 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).