Search
  • EDICT Malaysia

Menteri Dalam Negeri & KPN Mesti Berhenti Mendedahkan Mahkamah Kepada Virus. Zuraidah Wajib Dikecam.

EDICT melihat laporan berita oleh FMT semalam yang bertajuk “tiada topeng muka, suspek dibawa ke mahkamah dengan beg plastik menutup kepala” sebagai suatu yang amat membimbangkan.

Laporan itu menyertakan sebuah gambar dengan huraian “...telah dibawa ke sebuah mahkamah di Pulau Pinang.”

Gambar itu menunjukkan puluhan tahanan berpakaian lokap, digari antara satu sama lain, berhimpit satu sama lain, di dalam sebuah bilik mahkamah. Hampir kesemuanya tidak bertopeng muka.

Menurut laporan itu, sebahagian tahanan telah dibawah ke mahkamah untuk didakwa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

Laporan itu juga menyebut seorang daripada tahanan terpaksa ditutup muka dan kepalanya menggunakan plastik sampah kerana dia mempunyai sejarah perhubungan dengan seseorang yang telah disahkan sebagai sebahagian daripada kluster Tabligh Sri Petaling.

Pada 17 Mac, EDICT telah menggesa Menteri Dalam Negeri untuk mengambil langkah drastik untuk melindungi pihak polis dan tahanan daripada terdedah kepada jangkitan wabak. Pada 18 Mac, EDICT telah menyeru orang ramai untuk menghargai pihak polis memandangkan mereka kini terpaksa memikul beban tambahan dan risiko.

EDICT menghargai pihak polis menguatkuasakannya malah menahan mereka yang melanggar peraturan itu bagi mengurangkan penyebaran jangkitan.

Namun EDICT merasakan Menteri Dalam Negeri telah gagal untuk memastikan pihak polis yang bekerja di lapangan dilindungi.

EDICT menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Hamid Bador untuk segera mengambil tindakan segera untuk memastikan proses penahanan dan pertuduhan di mahkamah mematuhi segala langkah yang ditetapkan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan. Adalah sangat tidak boleh diterima apabila pihak polis, tahanan, peguam, para hakim/majistret serta kakitangan mahkamah terdedah kepada risiko jangkitan ini.

Juga adalah sangat tidak boleh diterima jika mereka yang menguatkuasakan peraturan untuk menghalang penyebaran wabak ini sendiri yang melanggar peraturan tersebut. Seterusnya, adalah sangat tidak boleh diterima sama sekali jika pihak polis yang ingin mengelakkan jangkitan menggunakan plastik sampah kerana mereka tidak mempunyai topeng muka.

EDICT seterusnya ingin menyuarakan rasa jelek terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Laporan berita menyatakan bahawa Zuraida menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) sedang melakukan sanitasi awam di atas jalanraya menggunakan kaedah yang salah dan beliau bergerak dalam satu kumpulan yang besar yang turut dihadiri anggota polis! EDICT ingin menggesa Kabinet diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengecam Zuraida atas tindakan beliau tersebut. Menteri-menteri yang menyalahgunakan sumber yang kini kekurangan dan amat diperlukan serta “menunjuk-nunjuk” aksi menjalankan prosedur yang salah adalah sangat tidak boleh diterima.


EDICT 1 April 2020

17 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).