Search
  • EDICT Malaysia

Peguam Negara, Ketua Pendaftar & KPN Mesti Jelaskan tentang Layanan Istimewa Terhadap Nurul Zahid



Pada 5 Mei, di Putrajaya, Majistret Shah Wira Abdul Halim telah membuat dua keputusan yang mana berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat dan tersebar luas di media sosial, telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Menurut laporan berita, wartawan yang berada di mahkamah ketika itu telah diarahkan keluar sebelum pendengaran kes dimulakan. Ini menyebabkan para wartawan tidak dapat menyaksikan prosiding tersebut.

Laporan mengenai pendengaran tersebut tidak jelas. Kami tidak pasti mengapa majistret mengarahkan wartawan untuk keluar, apakah arahan, jika ada, yang beliau berikan mengenai liputan media dan atas sebab apa beliau mengenakan denda sebanyak RM 800 yang mana jumlah ini adalah lebih rendah berbanding denda yang dikenakan kepada tertuduh-tertuduh yang lain.

Kebimbangan di kalangan orang ramai bukanlah sesuatu yang luar biasa, memandangkan terdapat banyak laporan yang mengatakan denda sebanyak RM1,000 dikenakan ke atas mereka yang mengaku bersalah terhadap kesalahan sedemikian. Pesalah yang didenda setakat ini terdiri daripada pelbagai latar belakang – daripada ahli politik sehinggalah golongan miskin.

Menurut satu laporan berita, (lihat pautan) salah satu “faktor mitigasi” yang dikemukakan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal (dibantu oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad) yang mewakili Nurul dan suaminya ialah mereka keluar untuk menghadiri mesyuarat yang dipanggil oleh seorang timbalan menteri.

Kita sedia maklum bahawa pada 29 April, Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Kerajaan Negeri Perak juga telah didenda RM 1,000 bagi kesalahan yang sama.

Kita juga sedia maklum tentang berita mengenai seorang ibu tunggal bernama Lisa Christina, berusia 30 tahun, dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret Shah Alam kerana melanggar PKP. Pada 29 April, Mahkamah Tinggi menyemak semula hukuman tersebut dan menggantikannya kepada denda sebanyak RM1,000.

Adalah wajar bagi Lisa untuk mempersoalkan mengapa denda ke atas Nurul, 41 tahun dan suaminya, 49 tahun itu adalah lebih rendah berbanding hukuman yang dikenakan ke atasnya. Sukar untuk orang awam tidak berprasangka bahawa pasangan itu mendapat keistimewaan kerana beliau adalah anak kepada presiden UMNO.

Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mestilah dilihat dilaksanakan. Keadilan juga mestilah dilihat menjamin kesaksamaan layanan ke atas semua orang di bawah undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Dilaporkan bahawa Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Bin Mohd Salleh, telah menjelaskan bahawa “tiada larangan untuk pihak media untuk membuat liputan pada hari tersebut,” dan majistret “tidak sedar akan kehadiran pihak media,” dan arahan “mengosongkan” mahkamah itu adalah untuk memastikan tuntutan penjarakan sosial yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dipatuhi (lihat pautan). Bagi menjelaskan salah faham ini dan untuk mengelakkan nama baik keadilan dicemari, kami memohon agar Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang bagaimana arahan untuk “mengosongkan mahkamah” tersebut dibuat – memandangkan wartawan (yang berkemampuan untuk memahami dan menghayati dengan lebih jelas) pun tidak dapat memahaminya. Adakah majistret benar-benar mengambil berat tentang kepentingan awam dalam kes ini?

Menurut satu laporan berita, dua orang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes tersebut telah memohon satu hukuman berbentuk pencegahan, iaitu denda dan penjara. Kami terkejut apabila mereka memohon untuk hukuman penjara. Penjara adalah satu tempat di mana penjarakan sosial tidak akan dapat dipatuhi. Mengapa mereka masih meminta untuk hukuman penjara?

Orang ramai tidak jelas sama ada timbalan pendakwa raya tersebut membantah akan halangan akses oleh para wartawan tersebut. Kami dengan ini ingin menggesa Peguam Negara untuk memberi penjelasan dan memaklumkan kepada masyarakat sama ada timbalan pendakwa raya ada membuat bantahan terhadap arahan yang bertentangan dengan keperluan sesebuah mahkamah untuk bersidang secara terbuka seperti yang termaktub didalam Kanun Prosedur Jenayah (seksyen 7) dan Akta Mahkamah Kehadikan (seksyen 15).

Kami juga menggesa Peguam Negara untuk menjelaskan sama ada beliau telah mengarahkan kamarnya untuk merayu terhadap hukuman RM 800 tersebut.

Kami tidak melihat sebarang laporan berita mengenai pasangan suami isteri tersebut digari dan dibawa ke mahkamah menaiki kereta polis. Kami menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador untuk menjelaskan mengapa mereka dilayan berbeza berbanding pesalah PKP yang lain seperti Pakar Kardiologi yang telah dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari dengan menaiki kereta polis.


Dalam keadaan yang sukar ini, mahkamah, secara umumnya, mempunyai kuasa untuk bertindak bebas dan berkecuali daripada pengaruh kuasa eksekutif, mengendalikan kes yang begitu banyak serta peka dan mengambil tindakan terhadap maklum balas tentang hukuman-hukuman yang diberikan. Isu di sini adalah mengenai suatu keburukan, jika tidak ditangani, akan mencemarkan reputasi mahkamah.

Tindakan Peguam Negara yang kelihatan seperti “orang suruhan” kepada badan eksekutif dan menjauhkan dirinya daripada masyarakat adalah sungguh mengecewakan, namun masih belum terlambat untuk beliau melakukan perubahan.

Para anggota polis di lapangan – meskipun ada segelintir daripadanya menyalahgunakan kuasa – telah memerah keringat untuk menguatkuasakan PKP. Negara kita amat berterima kasih. Namun, banyak keputusan yang dibuat oleh pegawai atasan, seperti menggari dan mereman mereka yang bukan dari golongan elit, memburukkan lagi imej institusi polis yang telahpun dilihat sebagai negatif. Kami menggesa agar Ketua Polis Negara bertindak segera terhadap para pegawai yang bersalah dan memaklumkan kepada masyarakat mengenainya.

EDICT 8 May 2020

15 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).