Search
  • EDICT Malaysia

Peguam Negara Mesti Mengawasi Tindakan Pendakwa Raya.


Pada 4 April, EDICT telah menulis surat terbuka kepada Yang Berbahagia Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Dalam surat tersebut, kami menyuarakan kebimbangan kami terhadap perlaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak polis dan pendakwa raya. Kami telah meminta Peguam Negara untuk mengeluarkan arahan supaya keadilan dilaksanakan tanpa mengenepikan belas ihsan dan memastikan perlaksanaan keadilan yang saksama.

Surat tersebut telah tersebar luas di rangkaian media sosial. Surat itu juga turut dipetik oleh rangkaian media tempatan dan antarabangsa. Empat hari telah berlalu sejak surat berkenaan diterbitkan. Ramai yang bertanya sama ada pihak Peguam Negara telah mengeluarkan sebarang garis panduan atau sebaliknya.

Kami masih tidak dihubungi oleh pihak Peguam Negara. Kami tidak menerima sebarang maklumbalas sama ada berlaku perubahan dalam proses penguatkuasaan tersebut. Justeru, kami berpendapat, pihak Peguam Negara masih belum mengambil apa-apa tindakan berkenaan kebimbangan yang telah kami utarakan tersebut.

Walau bagaimanapun, kami amat mengalu-alukan tindakan Hakim Besar Malaya, YAA Tan Sri Dato’ Azahar Mohamed dan YAA Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim yang telah mengeluarkan arahan kepada mahkamah-mahkamah tinggi untuk mempercepatkan proses rayuan dan semakan bagi hukuman untuk kes-kes berkaitan PKP.

Kami juga menyambut baik tindakan Ketua Hakim Negara, YAA Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang telah menggesa pegawai-pegawai kehakiman untuk mempertimbangkan risiko penularan Covid-19 di dalam penjara sebelum menjatuhkan hukuman.

EDICT juga mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan kami kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar yang telah menulis surat kepada Ketua Hakim Negara menyatakan kebimbangannya tentang keadaan penjara yang akan menjadi padat dan sesak sekaligus boleh menjadi tempat penularan wabak. Kami meraikan dan menyokong saranannya agar pesalah-pesalah pelanggaran PKP dikenakan hukuman khidmat masyarakat.

Sebagaimana yang telah kami katakan, kami tidak mengetahui sama ada Peguam Negara telah mengambil sebarang tindakan yang boleh kami sahkan di sini.

Sayang sekali, kami terpaksa membawa dua perkara tersebut kepada perhatian Peguam Negara demi menuntut tindakan segera diambil untuk mengeluarkan garis panduan bagi memelihara nama baik sistem keadilan daripada salah-amalan penguatkuasaan PKP.

Kita sedia maklum mengenai kes seorang pembantu kedai berusia 20 tahun, Nurshahira Mohd Mizuar yang terpaksa menjalani hukuman penjara pada 31 Mac lalu. Hakim Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara selama 3 bulan (dan juga denda) selepas beliau – yang tidak diwakili peguam – mengaku bersalah terhadap pertuduhan “membuat dan memulakan komunikasi jelik” dan “menghina anggota polis” di laman media sosial.

Menurut laporan berita, gadis itu meluahkan kemarahannya atas tindakan polis dalam operasi COVID-19 di Batu Menunggul, Pendang, Alor Star. Gadis itu didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut satu jawapan dalam sidang Parlimen, dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober 2019, sebanyak 153 kes telah disiasat dibawah seksyen 233 AKM tetapi belum ada satu kes pun yang didakwa. Statistik ini menunjukkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Nurshahira – dan tindakan hakim yang menolak rayuan untuk menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan – adalah amat menghairankan.

EDICT juga dimaklumkan bahawa terdapat seorang timbalan pendakwa raya, dalam akaun media sosialnya, telah mempertahankan dan mengapi-apikan anggota polis yang telah mengambil tindakan sendiri terhadap pesalah-pesalah PKP seperti memukul dan merotan mereka. Timbalan Pendakwa Raya tersebut mendakwa kenyataannya itu adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang beliau tafsirkan tanpa berpandukan Perlembagaan dan undang-undang lain seperti Akta Polis!

EDICT ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukan kuasa kepadanya di bawah Perkara 145 untuk mengawal tindakan yang melampaui kuasa yang telah diperuntukan, sebagaimana yang sedang berlaku kini.

EDICT juga menggesa Peguam Negara untuk menggunakan kuasanya untuk menghalang sebarang perkara yang boleh mencemarkan sistem keadilan akibat daripada salah-amalan dalam perlaksanaan PKP, pendakwaan yang melampau dan penafsiran Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit diluar konteksnya.

EDICT percaya bahawa Peguam Negara memahami akan keperluan untuk memastikan agar masyarakat tidak hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan negara kita. Kami juga berharap agar beliau akan segera mengambil tindakan demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan agar maksud yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi oleh semua pihak.

EDICT

9 April 2020

94 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).