Search
  • EDICT Malaysia

Peguam Negara Mesti Tampil Memainkan Peranan Untuk Menjernihkan Keadaan



EDICT dikejutkan dengan satu berita semalam mengenai ucapan Menteri Pertahanan, Ismail Sabri yang bercakap bagi pihak Majlis Keselamatan Negara. Beliau mengatakan, “mereka yang melanggar PKP pada kali ini akan ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah seksyen 24, Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.”

Ismail juga dilaporkan berkata, “kita serahkan kepada pihak polis sama ada akan kenakan kompaun atau sebaliknya”. Menurut beliau, pihak polis membuat keputusan untuk terus mendakwa di mahkamah daripada mengenakan kompaun kerana terdapat begitu ramai orang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdapat pelbagai alasan mengapa ada individu-individu melanggar PKP. Ada di antara mereka sangat terdesak untuk mencari nafkah bagi memberi makan kepada keluarga mereka kerana mereka tidak dapat bekerja dan hilang sumber mata pencarian.

Pertama, seperti yang telah kami nyatakan terdahulu, terdapat banyak kes di mana amaran dan nasihat sudah memadai daripada mengenakan kompaun atau penangkapan.

Kedua, dalam sesetengah kes, mahkamah menjatuhkan hukuman 3 bulan penjara manakala dalam sebahagian kes lagi, mereka terpaksa ke penjara kerana tidak mampu membayar denda. Keluarga mereka pula terpaksa berlapar kerana ketua keluarga mereka dipenjarakan.

Ketiga, Jabatan Penjara telah memberi amaran bahawa penjara boleh menjadi tempat penularan Covid-19 akibat pertambahan tahanan-tahanan yang baru ke dalam penjara yang sudahpun sedia sesak dan padat.

Keempat, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, dan juga seorang bekas hakim berpengalaman telah mengingatkan badan kehakiman supaya lebih peka mengenai isu kepadatan penjara dan hukuman yang berlebihan.

Kelima, peruntukan undang-undang yang dirujuk oleh Ismail Sabri tersebut walaupun merujuk kepada denda yang boleh dikenakan sebagai ganti kepada penjara selama 2 tahun, namun timbalan pendakwaraya sering menekankan hukuman penjara untuk kesalahan pertama dan ianya dipersetujui oleh majistret dan hakim mahkamah sesyen.

Kita berada dalam situasi pandemik. Kawalan pergerakan wajar dikuatkuasakan. Memang wujud segelintir yang tidak patuh pada perintah tersebut. Mereka perlu diberi amaran dan jika perlu, barulah mereka dikenakan hukuman.

Namun begitu, dalam situasi pandemik, tidak bermakna sistem dan amalan keadilan yang mantap perlu diabaikan. Salah satu amalan tersebut adalah mengambil kira faktor mitigasi dalam menjatuhkan hukuman. Juga pada hakikatnya, menghantar ribuan orang ke penjara pada waktu ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Kami menggesa pihak MKN untuk mendengar nasihat dan pandangan pengamal perubatan, Jabatan Penjara, ahli-ahli badan kehakiman sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang terdahulu dan masyarakat secara amnya.

Kami seterusnya ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap tindakan yang melebih-lebih pihak polis seperti dalam kes Mohd Izwan, seorang pemuda yang ditahan dua hari lepas kerana disyaki meluahkan kemarahannya ketika saat-saat sukar begini. Beliau dikatakan telah memuatnaik komen didalam media sosial yang ditujukan kepada “PM”. Seseorang hanya perlu ditahan dan disiasat kerana melakukan jenayah yang sebenar. Bukan kerana fikirannya ataupun berdasarkan tanggapan semata-mata.

Kita sedang menghadapi situasi yang sukar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, janganlah kita lupa bahawa ciri-ciri sebagai sebuah negara adalah menasihati sebelum mengenakan pertuduhan jenayah.

Kerajaan melalui MKN seharusnya meminta pihak polis untuk mengamalkan sikap belas kasihan dan memahami keperluan untuk memastikan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dipatuhi pada setiap masa serta tidak menggunakan undang-undang sebagai satu alat untuk penyalahgunaan kuasa. Kerajaan tidak patut sama sekali “menyerahkan segalanya pada pihak polis”. Kerajaan perlu menyediakan polisi yang jelas dan panduan kepada pihak polis.

Kami ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa pada saat ini, negara dan rakyat memerlukan beliau untuk memberikan panduan dan jaminan agar tuntutan undang-undang menurut Perlembagan Persekutuan dipatuhi.

Kami sekali lagi ingin menggesa Peguam Negara untuk tampil dan mengambil tindakan dalam situasi ini, bertindak atas kuasa yang diberikan kepadanya dibawah artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan mengawasi pihak polis dan pendakwaraya.

In Solidarity:

Khalid Ismath

Executive Director

EDICT

12 April 2020

139 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).