Search
  • EDICT Malaysia

Peguam Negara Perlu Ambil Tindakan Terhadap Para Menteri yang Melanggar Undang-Undang dan Pihak Poli


1. EDICT turut berasa gusar terhadap tindakan pihak kerajaan yang telah menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

2. Kerajaan, tanpa kelulusan Parlimen, telah membuat keputusan agar hukuman bagi melanggar PKP adalah penjara walaupun terdapat hukuman alternatif dalam undang-undang berkenaan. Walaupun arahan tersebut bukan dibuat secara bertulis kepada mahkamah, namun ia adalah jelas, bilamana 13 pusat tahanan yang baru telahpun dikuatkuasakan bagi memenjarakan pesalah-pesalah PKP.

3. Terdahulu, kami telah mengeluarkan kenyataan tentang tindakan-tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin yang melanggar PKP. Zuraida menghadiri perhimpunan awam manakala Muhyidin membeli belah dengan isterinya.

4. Semalam, dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali dan Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah melanggar PKP. Juga dilaporkan, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah melanggar PKP.

5. Terdapat gambar-gambar Noor Azmi dan individu-individu lain makan bersama semasa beliau melawat satu pusat tahfiz. Terdapat juga gambar-gambar Ahmad Samsuri dan sekumpulan individu yang turut hadir bersama beliau semasa lawatan bekas MB Terengganu di kediaman beliau. Juga terdapat gambar-gambar Zulkifli dalam satu perbincangan berkumpulan mengenai penerbitan buku. Sukar untuk dipercayai sekiranya mereka yang tersebut sedang menyediakan operasi perkhidmatan penting seperti dalam senarai yang diwartakan.




6. Bilangan pesalah PKP yang didenda dan dipenjara kini telah mencecah ribuan orang. Namun begitu, belum ada satu tindakan pun yang diambil terhadap para menteri dan timbalan menteri. Menurut satu laporan berita, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri yang juga mewakili Majlis Keselamatan Negara telah mengatakan bahawa, “kami serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat” memandangkan laporan polis telah dibuat terhadap sebahagian daripada mereka.

7. Meskipun sikap “mengatasi undang-undang” di kalangan ahli politik ini bukanlah diluar jangkaan, perenggan (2) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Peguam Negara menasihati “Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri” dalam hal undang-undang. Perenggan 3 pula memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk menjalankan prosiding bagi sesuatu kesalahan.

8. Tujuan Perkara 145 diperuntukkan adalah antara lain untuk memastikan bahawa setiap orang diberikan layanan sama rata dibawah undang-undang, begitu juga dengan mereka yang memegang kuasa eksekutif dan perundangan.

9. Oleh sebab ribuan orang telah “dihukum” dengan “digari, direman dan dipenjarakan”, termasuk golongan miskin, mengapa tidak para menteri? Bukankah Peguam Negara telah menasihati para menteri tersebut bahawa mereka telah melanggar PKP? Bukankah Peguam Negara telah mengarahkan pihak polis memberikan “layanan” sedemikian? Bukankah ini telah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memastikan layanan yang sama rata di bawah undang-undang?

10. Walaupun tindakan pelanggaran undang-undang tersebut telah menimbulkan kegemparan dan reaksi pihak polis yang hanya “memekakkan telinga” terhadap aduan dan rungutan masyarakat tersebut, masih tiada sebarang komen daripada pihak Peguam Negara.

11. Justeru kami menyeru agar kerajaan, daripada Perdana Menteri hinggalah ke penjawat awam menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk ditahan, digari, direman dan didakwa. Kami turut menggesa Peguam Negara untuk menjelaskan sikap berdiam diri beliau.

12. Kami juga ingin mengingatkan Peguam Negara untuk memastikan agar tuntutan undang-undang terlaksana, meskipun terhadap ahli Kabinet yang ingkar.

EDICT 19 April 2020

13 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).