Search
  • EDICT Malaysia

Pendedahan terbaru KPN tentang penglibatan JIPS dalam Kartel Jenayah bukti kerajaan perlu bertindak




1. Pendedahan terbaru Ketua Polis Negara semalam mengenai penglibatan pegawai-pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS) dalam bersekongkol dengan pegawai-pegawai polis yang terlibat dengan jenayah dan salahlaku bukanlah satu perkara yang mengejutkan buat kami.


2. Peguam dari EDICT yang telah mengendalikan banyak kes berkaitan kematian dan penderaan dalam tahanan yang berpunca dari tindakan dan salah laku anggota polis, telah menyaksikan bagaimana para anggota yang terlibat langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh JIPS malah ada sebahagian daripada mereka ditawarkan kenaikan pangkat setelah menyebabkan kematian tahanan.


3. Berdasarkan laporan berita semalam, “IGP turns guns on his own integrity dept over cover-ups” (seperti yang disiarkan di FMT, 15 April 2021) Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan sebahagian pegawai JIPS telah “melepaskan” anggota-anggota yang telah disiasat oleh JIPS daripada dikenakan tindakan seperti didakwa di mahkamah atau ditukar tempat kerja.


4. Ini menjadi sebab yang paling kuat mengapa kita memerlukan sebuah badan bebas seperti IPCMC yang dianggotai oleh mereka yang terdiri dari

kalangan bukan anggota polis untuk menyiasat dan mendakwa anggota polis yang terlibat dalam jenayah.


5. Penubuhan IPCMC ini sudah berulang kali digesa oleh EDICT dan pertubuhan hak asasi manusia yang lain kepada kerajaan namun sejak draf rang undang-undang IPCMC tersebut digubal pada tahun 2005, kerajaan langsung tidak berusaha untuk menjadikan ia realiti.


6. Lebih mengecewakan, pada zaman kerajaan PH dan PN, RUU IPCMC 2005 itu cuba digubal dan dipinda untuk menjadi sebuah institusi yang tidak bertaring dan tidak diberi kuasa untuk mendakwa anggota yang terlibat dengan jenayah.


7. EDICT ingin mengingatkan kerajaan, usah dibiarkan lagi barah dalam PDRM ini melarat. Tindakan segera, serius dan tegas perlu diambil bagi memastikan imej dan integiriti PDRM terjaga. Sekiranya PDRM mula dikuasai para penjenayah dan kongsi gelap, maka ini akan melumpuhkan institusi keselamatan dan mengancam kedaulatan negara.


EDICT

16 April 2021

0 views0 comments