Search
  • EDICT Malaysia

Polis mesti jelaskan mengapa mereka tidak laporkan kematian Mugilarasu kepada Mahkamah Koroner




1. EDICT berasa dukacita setelah mendapat laporan berita pada jam 3 petang tadi mengenai satu lagi kematian dalam tahanan. Kes yang terbaru ini melibatkan nyawa Mugilarasu yang berusia 35 tahun.


2. Kami terkejut kerana sehingga jam 8 malam ini (3 julai), pihak polis masih tidak memaklumkan kes kematian Mugilarasu ini kepada koroner negeri Selangor meskipun pada jam 11.15 malam semalam (2 Julai), pihak polis telah memaklumkan tentang kematian tersebut kepada abang Mugilarasu, Karunakaran Pillai, yang telah mengesahkan identiti Mugilarasu pagi tadi.


3. EDICT menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin untuk menjelaskan mengapa koroner tidak dimaklumkan mengenai kes ini dan sama ada beliau menganggap perkara tersebut adalah ketidakpatuhan terhadap undang-undang.


4. Kami ingin mengingatkan beliau bahawa Kanun Prosedur Jenayah menghendaki pihak polis untuk segera melaporkan kematian dalam tahanan kepada koroner (seksyen 329(5)), yang mana adalah menjadi amalan biasa bagi pihak koroner untuk melihat mayat di tempat kejadian (seksyen 330) dan Koroner hendaklah menjalankan inkues terhadap kematian itu (seksyen 334).


5. Kami menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar memberi respon terhadap kegusaran orang ramai yang makin memuncak terhadap jumlah kematian dalam tahanan yang membimbangkan serta mengembalikan keyakinan masyarakat kepada pihak polis dalam mengendalikan kes-kes sedemikian.


6. Kami menggesa mereka untuk menubuhkan Prosedur Operasi Standard yang khas bagi kes-kes kematian dan penderaan dalam tahanan, di lokap mahupun pusat tahanan yang lain. Hanya dengan cara ini, orang ramai akan mempercayai bahawa mereka yang ditahan oleh pihak yang berkuasa adalah dilayan secara berperikemanusiaan, bukan ibarat objek yang tidak bernilai.


EDICT

03 Julai 2020

37 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).