Search
  • EDICT Malaysia

Polis Mesti Mengambil Tindakan Terhadap Lima Orang Anggota yang Menyalahguna Kuasa dengan Segera



Pada 17 April, Ahmad Radhi Bin Bashizan, seorang anak muda yang tinggal bersama orang tuanya di Sungai Petani, Kedah telah ditahan oleh pihak polis di luar rumahnya kerana didakwa melanggar PKP.

Beliau memaklumkan kepada anggota polis yang menahannya bahawa beliau baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian kaki kiri dan telah dimasukkan besi. Beliau juga memberitahu anggota tersebut bahawa beliau masih dalam proses pemulihan, yang mana atas nasihat doktor, kakinya tidak boleh menampung beban dalam masa 2 bulan.

Anggota-anggota polis tersebut tidak mengendahkan kata-katanya. Mereka terus menggari beliau. Mereka menyuruh pemuda tersebut bersama seorang lagi yang ditahan untuk masuk ke dalam but kereta sebuah kereta peronda polis.

Mereka membawa pemuda tersebut ke sebuah pondok polis di sekitar kawasan perumahan. Beliau terpaksa menahan kesakitan dan sesak nafas semasa diletakkan didalam but kereta polis tersebut. Daripada pondok polis itu, beliau dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, lebih kurang 20 kilometer jaraknya daripada pondok polis tadi.

Semasa di IPD Kuala Muda, beliau tidak mengaku melakukan kesalahan. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis (jaminan berkelakuan baik) dengan syarat beliau hadir ke mahkamah pada 29 April ini untuk menghadapi pertuduhan.

Semasa melalui pengalaman perit itu, beliau telah merayu untuk menggunakan tongkatnya untuk berjalan namun pihak polis tidak membenarkan. Beliau terpaksa berjalan sendiri dalam kesakitan dan kesukaran. Beliau terpaksa menahan kesakitan itu dan berkemungkinan akan memberi kesan pada kecederaannya. Beliau juga tidak boleh mengambil ubat-ubatannya.

Semalam, beliau telah membuat laporan polis di Sungai Petani. Beliau telah memberikan nombor badan anggota polis berkenaan. Beliau menyatakan bahawa terdapat 4 anggota lain turut terlibat didalam penahanannya itu. Beliau telah meminta pihak polis agar menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap anggota-anggota polis tersebut.

EDICT bersyukur kerana pegawai penyiasat telah dengan segera mengambil keterangan Radhi.

Dalam pada itu, EDICT menggesa pihak polis agar segera mengambil tindakan terhadap para anggota berkenaan.

EDICT ingin mengingatkan anggota polis bahawa mereka bertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang dan kesihatan orang yang ditahan seperti yang termaktub di bawah seksyen 3 dan 20 Akta Polis 1967, juga sepertimana yang telah diputuskan oleh mahkamah.

EDICT menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin agar mengambil tindakan yang tuntas dalam menghukum anggota-anggota polis yang melakukan kesalahan sebagaimana tindakan yang diambil terhadap orang awam.

EDICT 24 April 2020

43 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).