Search
  • EDICT Malaysia

Polis Selangor mesti lapor dan siasat kematian V Mugilarasu.


Dalam satu kenyataan kami pada 3 Julai (lihat pautan) kami telah menggesa Ketua Polis Selangor, Pesuruhjaya Polis Datuk Noor Azam Jamaludin untuk menjelaskan mengapa pihak polis masih tidak melaporkan kematian V Mugilarasu , 35 tahun, yang mati di Penjara Sungai Buloh kepada pihak koroner, walaupun sehari sebelumnya pihak polis telah memaklumkan kematian mendiang kepada ahli keluarga mendiang.

Pesuruhjaya Polis tersebut tidak mengendahkan dakwaan kami mengenai kegagalan pihak polis untuk melaporkan kematian itu kepada koroner (lihat pautan). Alasan yang diberikan oleh beliau adalah kerana prosedur COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Jawapan beliau adalah tidak konsisten memandangkan pihak polis telahpun memaklumkan kepada ahli keluarga Mugilarasu. Jika polis boleh memaklumkan kepada keluarga mendiang, mengapa tidak kepada koroner?

Pada 4 Julai (keesokan harinya), dalam satu kenyataan susulan (lihat pautan), kami telah menegaskan bahawa melaporkan kematian kepada pihak koroner dengan kadar segera adalah mandatori. Sepertimana yang telah kami nyatakan pada 3 Julai, kami merujuk kepada seksyen 329(5), Kanun Prosedur Jenayah, yang mana peruntukan tersebut adalah termaktub di bawah undang-undang.

Namun, sehingga 8 Julai, seminggu selepas kematian Mugilarasu, dan setelah dua kali kami mencabar kegagalan pihak polis melaporkan kematian tersebut kepada koroner, pihak polis masih belum mengambil apa-apa tindakan.

Lebih buruk lagi, pada 7 Julai, Pesuruhjaya Polis tersebut dilaporkan berkata, “kami telah menyiasat kejadian yang membawa kepada kematian mendiang dan hasil laporan bedah siasat mendapati tiada unsur khianat ditemukan. Mendiang mati akibat serangan jantung.” (Selangor police say Mugilarasu died of heart attack, rule out foul play, Thasha Jayamanogaran, Malay Mail, 7 July 2020, - lihat pautan)

Pihak polis tidak seharusnya membuat dakwaan terlebih dahulu. Tugas untuk membuat dapatan bagi punca kematian adalah tanggungjawab pihak koroner. Bukanlah tugas pihak polis untuk memutuskan dan mengumumkan punca kematian sebelum inkues dijalankan di mahkamah.

Kami ingin mengingatkan Pesuruhjaya Polis tersebut bahawa pihak polis hendaklah mendaulatkan undang-undang (seksyen 3, Akta Polis). Undang-undang mengenai kematian dalam tahanan menghendaki pihak polis untuk mengambil langkah yang lebih daripada hanya menyebut semula apa yang terkandung di dalam laporan bedah siasat.

Kami ingin mengimbas kembali pada 15 tahun lalu, merujuk kepada Suruhanjaya Tun Dzaiddin, pihak polis diingatkan agar mereka mesti mengambil tindakan yang lebih daripada hanya merujuk kepada dapatan patologi (perenggan 2.3.5(i)).

Kami juga maklum bahawa apabila Suruhanjaya tersebut memaklumkan kepada Ketua Polis Negara (KPN) yang terdahulu, Tan Sri Bakri mengenai dapatan awal berkenaan ruang untuk penambahbaikan dalam menangani kematian dalam tahanan, beliau telah memberikan respon yang pantas. Pihak polis telah mengambil langkah yang konkrit tiga minggu selepas pihak Suruhanjaya tersebut berjumpa dengan KPN tersebut, setahun sebelum mereka menerima laporan akhir Suruhanjaya tersebut.

Menurut laporan Suruhanjaya tersebut, campur tangan KPN telah menyebabkan wujudnya Arahan CID no. 10/2004: 29 Mei 2004, yang memperuntukkan bahawa siasatan polis bagi kes-kes kematian dalam tahanan hendaklah dilengkapkan dalam tempoh satu bulan dan inkues mestilah dijalankan.

Mugilarasu telah mati di dalam penjara, bukan dalam tahanan polis. Namun nyawanya tetap berharga sepertimana nyawa orang lain. Pengendalian kes kematiannya adalah refleksi kepada kredibiliti pihak polis pada kaca mata orang awam.

Oleh itu, kami menggesa Pesuruhjaya Polis Datuk Noor Azam untuk mencontohi Tan Sri Bakri. Segera bertindak. Akui kesilapan. Jangan ulangi kesilapan sama dalam kes ini. Ambil langkah untuk mengelakkan kesilapan yang sama daripada berulang.

Nyawa setiap manusia harus dihargai lebih daripada objek yang tidak bernilai.

EDICT

10 Julai 2020

61 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).