Search
  • EDICT Malaysia

Polis Tembak Mati Suspek di Johor: Kuasa Polis Adalah Untuk Menyiasat, Bukan Menghukum.




1. EDICT curiga dengan tindakan polis yang terus menembak mati suspek dalam satu kejadian kejar mengejar yang berlaku di Batu Pahat Johor.


2. Menurut laporan berita yang disiarkan di Freemalaysiatoday.com pada 12 Februari 2021, sepasukan anggota polis telah menahan 2 buah kereta yang mencurigakan dan seterusnya berlaku serangan fizikal ke atas anggota polis menggunakan senjata tajam. Walaubagaimanapun, polis bertindak balas dengan menggunakan senjata api yang membunuh kesemua suspek seramai 4 orang.


3. EDICT ingin persoal, adakah tindak balas menembak kesemua suspek tersebut bersesuaian dengan SOP yang ditetapkan apabila berhadapan dengan serangan oleh penjayah?


4. Berikutan tindakan polis tersebut, EDICT ingin menggesa Ketua Polis Johor, Dato Ayob Khan untuk merujuk kembali Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek.


5. Menurut SOP PDRM dalam melepaskan tembakan seperti yang dinyatakan dalam PTKPN D222:

terhad hanya untuk menjatuhkan orang salah itu sahaja atau menahan kesalahan daripada berlaku. JIka keadaaan mengizinkan hendaklah ditujukan kepada kaki.


6. Di dalam perintah yang sama, telah dinyatakan bahawa tindakan menembak oleh seseorang anggota polis hendaklah berpatutan.


7. Dalam kes ini Dato Ayob Khan tidak menjelaskan lebih lanjut bagaimana serangan dengan menggunakan senjata tajam tersebut dilakukan dan apakah kecederaan yang dialami oleh anggota berkenaan.


8. Mengapakah pihak polis tidak menembak di bahagian kaki suspek terlebih dahulu seperti yang dinyatakan dalam SOP PDRM? Apakah tindak balas polis membunuh kesemua suspek tersebut dilihat munasabah dan berpatutan sebagaimana yang dinyatakan dalam PTKPN D222?


9. EDICT juga berasa sangsi dengan kes-kes tembakan seperti ini yang mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan kes-kes tembakan yang berlaku pada masa lalu. Mengapakah jalan cerita yang dikhabarkan oleh PDRM dalam kes-kes tembakan ini lebih kurang sama? Adakah sesuatu yang cuba dirahsiakan PDRM?


10. Melihatkan situasi ini, EDICT ingin menggesa kerajaan agar segera melaksanakan pemakaian kamera badan pada anggota polis semasa bertugas. Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam satu kenyataan pada 18 November 2020, penggunaan kamera badan telah diluluskan oleh kerajaan dan sepatutnya dilaksanakan pada awal tahun 2021. Namun, apakah perkembangan daripada pelaksanaan tersebut?


11. Pihak polis seterusnya hendaklah sentiasa mendedahkan rakaman kamera badan kepada umum selepas berlaku kejadian tembak menembak atau serangan lain terhadap anggota agar situasi sebenar mengenai kejadian tersebut dapat memberi justifikasi yang adil terhadap anggota polis yang telah mengambil nyawa seseorang tahanan.


12. EDICT juga ingin mengingatkan PDRM dan Jabatan Peguam Negara agar segera adakan inkues bagi menyiasat kes kematian ini. Perlu diingatkan bahawa, dibawah seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah, kematian dalam tahanan polis adalah mandatori untuk diadakan inkues.



EDICT

13 Februari 2021

6,763 views1 comment
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).