Search
  • EDICT Malaysia

Polis tidak mengetahui siapa yang mati, namun yakin tiada berlaku kesalahan.


Kami bimbang mengenai satu laporan di FMT bertarikh 18 Jun 2020 (lihat pautan), bahawa menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, individu yang pada mulanya dikatakan oleh beliau dikenali sebagai Dhan Bahadur, seorang warganegara Nepal, kini adalah individu yang identitinya tidak dapat dikenalpasti.

“Dhan Bahadur” didakwa mati di dalam tahanan di lokap polis Jinjang pada 31 Mei, empat hari selepas beliau ditahan, iaitu pada 27 Mei.

Terkini, Mazlan mendedahkan bahawa “Dhan Bahadur” telah ditahan “bersama rakan-rakan serumahnya”, dan mereka memanggil beliau dengan nama yang sama.

EDICT difahamkan bahawa “Dhan” bekerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Adakah pihak polis telah bertanya dan menahan majikan beliau?

Kami berasa hairan apabila pihak polis dilaporkan telah meminta kepada "mana-mana pihak yang mempunyai maklumat" untuk menghubungi mereka.

Apakah maklumat yang ingin dicari pihak polis? Apakah kes yang sedang mereka siasat? Mengapa pihak polis tidak menghubungi kedutaan Nepal untuk mengesahkan identiti tahanan selepas mereka menahan Dhan? Mengapa pihak polis tidak menyiarkan wajah Dhan bagi mendapatkan bantuan dalam mengenalpasti identitinya? ("Dhan Bahadur" adalah nama yang biasa di kalangan warga Nepal.)

Kami ingin mengingatkan pihak polis bahawa secara purata, empat orang mati di dalam lokap setiap tiga bulan. Kes-kes di mahkamah telah memutuskan bahawa punca kematian adalah disebabkan tindakan dan pengabaian pihak polis.

Terdapat juga banyak kes dimana pihak polis menggunakan kekerasan berlebihan ke atas suspek. Sebagai contoh, kes Syed Azlan yang mati di dalam tahanan pada tahun 2014 selepas mengalami 61 kecederaan dalam masa kurang daripada empat jam selepas ditahan. (Sepertimana yg diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Disember 2019).

EDICT menggesa pihak polis untuk mengambil kira bahawa setiap kes kematian dalam tahanan adalah sebagai suatu kematian yang boleh dielakkan dan mempertimbangkan setiap tindakan dan pengabaian pihak polis yang mungkin telah menyebabkan kematian "Dhan".

EDICT mendapati ironinya: Mazlan, yang mana pegawai-pegawai beliau pun gagal untuk mengenalpasti identiti individu mereka sendiri telah tahan di dalam lokap dan kemudian ditemui mati, begitu pantas membuat kesimpulan bahawa tidak berlaku “kesalahan” yang mungkin mencadi punca kematian tersebut (lihat pautan).

EDICT juga maklum bahawa menurut Mazlan, pihak polis telah meminta pihak Imigresen untuk mengesahkan rekod "Dhan" (barangkali rekod cap jari) namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang maklum balas. Adalah mengejutkan bilamana ketika kebimbangan tentang penularan COVID-19 di kalangan warga asing, jabatan Imigresen tidak begitu responsif.

EDICT juga menggesa pihak kedutaan Nepal untuk membuat laporan polis mengenai kesilapan pengenalpastian identiti tersebut. Tanpa laporan tersebut, kami tidak yakin bahawa pihak polis akan memulakan siasatan rasmi mengenai kesilapan pengesahan identiti tersebut dengan serius.

Budaya memperlakukan nyawa manusia seperti objek yang tidak bernilai mesti dihentikan.

EDICT

18 June 2020

3 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).