Search
  • EDICT Malaysia

Respon EDICT kepada SUHAKAM mengenai siasatan kematian Jestus Kevin



1. EDICT merujuk kepada laporan berita yang dilapor FMT pada 24 Januari 2021 yang bertajuk “kami ada kuasa siasat kematian dalam tahanan” yang dikeluarkan oleh pihak SUHAKAM.


2. Dalam laporan tersebut, SUHAKAM membangkitkan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menyiasat apa-apa kes yang disyaki wujud perlanggaran hak asasi manusia tanpa perlu sebarang aduan dibuat kepada pihaknya. Secara amnya EDICT bersetuju dengan pernyataan tersebut. Sememangnya SUHAKAM perlu menyiasat dan memutuskan jika wujudnya perlanggaran hak asasi manusia di dalam sesuatu kes.


3. Namun demikian SUHAKAM tidak ada kuasa untuk menentukan punca kematian seseorang tahanan semasa berada di dalam tahanan polis. Apa-apa inkuiri yang dibuat berkenaan punca kematian mana-mana tahanan polis perlu disiasat oleh Koroner di Mahkamah Koroner. Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah memperuntukkan seperti berikut:


“when any person dies while in custody of the police, or in mental hospital or prison, the officer who had the custody of that person or was in charge of that mental hospital or prison, as the case may be, shall immediately give intimation of such death to the nearest magistrate, and the magistrate or some other magistrate shall, in the case of a death in custody of the police, and in other cases may, if he thinks expedient hold an inquiry into the cause of death”


4. Datuk Mah Weng Kwai juga dalam kenyataan tersebut turut dilaporkan mengatakan bahawa: “jika semasa inkuiri kami isu yang disiasat itu muncul di mahkamah, maka menurut undang-undang, kami perlu menangguhkan inkuri” Ini sememangnya diperuntukkan di dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, seksyen 12(3) yang menyatakan:


“Jika Suruhanjaya menyiasat suatu pengataan di bawah subseksyen 12(1) dan sementara menunggu penyelesaian siasatan itu, pengataan itu menjadi hal perkara mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, Suruhanjaya hendaklah berhenti dengan serta-merta daripada melakukan siasatan itu.”


Hal ini jelas berlaku dalam kes kematian Jestus Kevin. Semasa di dalam siasatan dan sebelum keputusan diumumkan oleh pihak SUHAKAM, mahkamah koroner telah pun menetapkan tarikh bermulanya inkues bagi kes kematian tersebut. Keputusan mahkamah untuk menyiasat inkues itu diumumkan pada 5 November 2020 lagi,melalui satu surat rasmi kepada pihak keluarga dan peguam. Hal ini turut dihebahkan dan diumumkan di media massa termasuk dalam laman sosial rasmi EDICT pada minggu yang sama. Inkues tersebut bermula pada 7 Disember 2020.


5. Persoalannya disini, mengapakah Datuk Mah tidak mengarahkan pihak SUHAKAM untuk menangguhkan atau memberhentikan apa-apa siasatan serta keputusan yang diusahakan? Sekiranya siasatan telah pun selesai pada waktu itu, mengapa tidak menangguhkan pengumuman dapatan siasatan SUHAKAM tersebut? Bukankah Datuk Mah sendiri menegaskan bahawa, SUHAKAM mesti menghentikan siasatan sekiranya kes tersebut telah muncul di mahkamah?


6. EDICT sekali lagi ingin menyatakan kebimbangan dalam hal ini memandangkan pihak peguam sesungguhnya tidak tahu menahu apa yang dilakukan oleh pihak SUHAKAM di dalam siasatan mereka. Edict mengingatkan bahawa wujud insiden seperti di dalam kes kematian Thomas Orhions Ewansiha, pihak SUHAKAM telah dituduh sebelum ini dengan tuduhan tidak menjalankan siasatan dengan lengkap dan kemudian mengumumkan keputusan siasatan mereka ketika inkues di Mahkamah sedang berjalan. Dalam kes tersebut, peguam mewakili keluarga mendiang, Encik Rajesh Nagarajan berpendapat bahawa terdapat kesilapan di dalam siasatan SUHAKAM serta siasatannya yang tidak langsung melibatkan pihak keluarga dan peguam. Peguam tersebut juga menyifatkan siasatan SUHAKAM dalam kes tersebut sebagai tidak boleh diterima serta bersifat prejudis terhadap kes berkenaan. Sila rujuk laporan Malaysiakini bertarikh 20 disember 2019, “lawyer slams deplorable revelation by SUHAKAM commissioner.”


7. EDICT sedar bahawa terdapat beberapa kumpulan NGO yang berasa hairan dengan tindakan EDICT mengecam siasatan SUHAKAM ini. Ingin kami tegaskan bahawa, matlamat tidak menghalalkan cara atau di dalam pepatah Inggeris “the end never justifies the means”. EDICT serta peguam EDICT mengendalikan kes berlandaskan fakta dan undang-undang. Kita tidak meraikan satu proses siasatan tertutup yang tidak memberikan hak kepada pihak-pihak yang terlibat untuk meneliti dan berhujah akan fakta kes. Proses inkues di mahkamah bersifat terbuka, boleh disoalbalas serta memberikan hak kepada semua pihak untuk meneliti, mendengar dan bertanya atau membantah sesuatu pernyataan. Sesungguhnya inkuiri sedemikian di Mahkamah Koroner lebih mendaulatkan hak asasi manusia daripada inkuiri SUHAKAM.


8. Ingin kami ingatkan kepada pihak SUHAKAM, fikirlah mengenai matlamat inkues ini diadakan. EDICT serta peguam EDICT ingin mendapatkan keadilan bagi pihak keluarga mangsa. Hanya mahkamah yang dapat memberikan keadilan tersebut. Keputusan SUHAKAM tidak sama sekali memberikan apa-apa manfaat kepada pihak keluarga.


9. Suhakam perlu memberikan lebih perhatian kepada usaha agar semua kes –kes kematian dalam tahanan dapat diketengahkan untuk siasatan di Mahkamah Koroner secepat mungkin dan bukannya mengadakan apa-apa siasatan yang membazir masa dan kos awam. Sesungguhnya apa-apa usaha SUHAKAM untuk terus mengadakan siasatan-siasatan berkenaan kematian dalam tahanan adalah usaha yang bersifat duplikasi dan redundant.


EDICT

25 Jan 2021

28 views0 comments
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).