Search
  • EDICT Malaysia

Respon EDICT Terhadap Kenyataan Ketua Polis Negara Berkenaan Tindakan Merakam Anggota Polis



1. Kami merujuk laporan akhbar bertarikh 12 November 2020, seperti yang disiarkan di BERNAMA (lihat pautan) mengenai respon Ketua Polis Negara terhadap tindakan seorang aktivis mahasiswa merakam video dan kenyataan media yang dikeluarkan oleh beberapa NGO sebelum ini yang mengecam tindakan PDRM.

2. Ingin kami tegaskan disini sekali lagi bahawa, tindakan merakam salahlaku anggota polis adalah satu perkara yang tidak melanggar undang-undang.

3. Polis perlu bijak membezakan antara menghina institusi polis dan mendedahkan salahlaku. Kedua-dua perkara berkenaan adalah berbeza.

4. Tindakan mahasiswa tersebut merakam tindakan anggota-anggota polis ketika hadir ke rumah rakannya adalah untuk memastikan tindakan anggota berkenaan mengikut segala prosedur undang-undang selain bagi memastikan keselamatan rakannya. Tidak wujud sebarang tohmahan atau penghinaan kepada anggota-anggota berkenaan.

5. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini didalam kenyataan media kami (lihat pautan), jika polis merasakan mereka tidak melakukan sebarang perlanggaran undang-undang, mengapa mereka perlu berasa bimbang atas tindakan tersebut?

6. Tambahan pula, pada 20 September 2019, Ketua Polis Negara sendiri menyokong dan menggalakkan penggunaan kamera badan bagi merakam tindak-tanduk para anggota supaya tidak berlaku penyelewengan dalam menjalankan tugas (lihat pautan). Penggunaan kamera bagi merakam pergerakan anggota juga adalah satu bentuk ciri keselamatan buat para anggota bagi mengelakkan sebarang fitnah dan tohmahan ke atas anggota ketika menjalankan tugas.

7. Penggunaan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta seksyen 500 Kanun Keseksaan hanya boleh digunapakai apabila seseorang itu melakukan penghinaan atau fitnah, bukannya untuk mendedahkan salahlaku polis.

8. Kami juga merasakan, tindakan mendedahkan salahlaku anggota polis dapat memastikan pihak polis lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang melanggar etika dan integriti PDRM itu sendiri.

9. Sekiranya pihak PDRM mahu mengembalikan kepercayaan dan penghormatan masyarakat kepada polis, PDRM seharusnya bersikap terbuka dan mengambil berat tentang pendedahan yang dilakukan oleh masyarakat mengenai kelakuan anggotanya dan bukannya mengancam masyarakat yang cuba mendedahkan salahlaku tersebut.

10. Ketua Polis Negara yang sebelum ini juga pernah berjanji untuk melaksanakan IPCMC, secara tiba-tiba bersikap dingin dengan tindakan mendedahkan salahlaku anggotanya. Dimanakah janji Ketua Polis Negara dahulu bahawa beliau bersedia dan terbuka untuk para anggotanya dikritik dan disiasat sekiranya melakukan kesalahan?

11. Kami berharap, pihak PDRM dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap polis. Kami juga ingin mengingatkan Ketua Polis Negara bahawa pelaksanaan IPCMC yang telah dirancang sebelum ini adalah salah satu jalan untuk memastikan integriti PDRM berada di tahap yang tinggi di mata masyarakat.

12. Akhir sekali, kami ingin mengingatkan pihak kerajaan bahawa, tindakan mendakwa aktivis mahasiswa yang juga bekas Presiden UMANY itu, yang mana hanya merakam tindakan polis tidak sama sekali menggugat mana-mana penjawat awam. Jabatan Peguam Negara mestilah menggunakan budi bicara berlandaskan prinsip keadilan yang munasabah dalam mendakwa sesiapapun. Kami berharap hanya kes yang betul-betul wajar sahaja patut dibawa ke mahkamah supaya tidak membazirkan masa mahkamah dengan kes yang tidak munasabah.

EDICT

13 NOV 2020

51 views
 

©2020 by Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT).